Permohonan ke program Ijazah Sarjana Muda Politeknik dibuka

Permohonan ke program Ijazah Sarjana Muda Politeknik dibuka

Putrajaya: Permohonan kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Politeknik bagi Sesi Akademik I 2026/2027 dibuka mulai hari ini hingga 3 Julai.

Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 12 program ijazah sarjana muda ditawarkan bagi sesi berkenaan melibatkan beberapa politeknik di Malaysia.

“Permohonan boleh dibuat melalui pautan http://ambilan.mypolycc.edu.my dan pembelian nombor pin tidak diperlukan,” menurut kenyataan itu.

JPPKK memaklumkan pemohonan terbuka kepada lepasan Diploma dan Diploma Lanjutan Politeknik termasuk pelajar semester akhir Diploma Politeknik yang tamat latihan industri bagi Sesi II 2025/2026 serta lepasan Diploma Kolej Komuniti termasuk pelajar semester akhir yang tamat latihan industri bagi sesi sama.

Turut layak memohon lepasan program Asasi TVET Politeknik, program Asasi Sains, Sains Fizikal atau Kejuruteraan universiti awam, Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan dalam jurusan sains atau kejuruteraan serta lepasan Diploma Kejuruteraan, Teknologi Kejuruteraan atau Teknologi daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pemilik Sijil APEL.A T-6 juga layak memohon.

Menurut JPPKK, semakan panggilan temu duga akan dibuka pada 14 Julai manakala sesi temu duga dijadual berlangsung dari 20 hingga 25 Julai.

“Hebahan tawaran kemasukan akan dibuat pada 21 Ogos sementara pendaftaran pelajar ditetapkan pada 21 Sept,” katanya.

JPPKK turut memaklumkan bahawa program yang ditawarkan di Politeknik Ungku Omar ialah Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam dengan Kepujian dan Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Pengurusan Rangkaian Bekalan), Teknologi Kejuruteraan Komputer, Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Teknologi Kejuruteraan Elektrik, Teknologi Kejuruteraan Marin serta Teknologi Senibina.

Sementara itu, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Rekabentuk Automotif) dengan Kepujian ditawarkan di Politeknik Sultan Azlan Shah manakala Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik Perubatan dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pengurusan Fasiliti dengan Kepujian ditawarkan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Politeknik Ibrahim Sultan pula menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Media Baharu dengan Kepujian serta Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti dengan Kepujian,” menurut kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top