Jasad lelaki masih sempurna selepas 26 tahun dikebumikan

Jasad lelaki masih sempurna selepas 26 tahun dikebumikan

JAKARTA – Penemuan jasad seorang lelaki yang masih dalam keadaan sempurna meskipun telah dikebumikan selama 26 tahun menggemparkan penduduk di Desa Candirejo, Kecamatan Pasir Penyu, Kabupaten Indragiri Hulu, Riau, Indonesia.

Jasad Allahyarham Abu Zamroh ditemukan dalam keadaan masih utuh ketika proses pemindahan beberapa kubur di Tanah Perkuburan Jugrug pada Ahad lalu, sekali gus mencetuskan rasa kagum dan tanda tanya dalam kalangan penduduk setempat yang menyaksikan sendiri kejadian berkenaan.

Anak Allahyarham, Miyos Sarwono, 43, berkata, proses pemindahan kubur dilakukan secara gotong-royong selepas pihak kampung mendapati kawasan tanah perkuburan lama berada di cerun berpasir yang berisiko mengalami hakisan dan tanah runtuh.

Menurutnya, sebanyak lapan kubur dipindahkan ke lokasi baharu yang lebih selamat, termasuk kubur bapanya yang meninggal dunia pada 30 September 2000 ketika berusia 52 tahun.

“Saya memang tertanya-tanya bagaimana keadaan jenazah ayah selepas lebih dua dekad berada dalam tanah. Apabila kerja-kerja menggali dijalankan, saya bersama ahli keluarga lain turut berada di lokasi.

“Ketika hampir sampai ke liang lahad, kami melihat bahagian kain kafan di kawasan bahu masih kelihatan ‘kemas’. Keadaan itu menimbulkan rasa ingin tahu,” katanya kepada media tempatan.

Miyos berkata, pemeriksaan kemudian dilakukan dengan lebih teliti dari bahagian kepala hingga ke kaki sebelum mereka dikejutkan dengan keadaan jasad yang masih sempurna.

“Kami benar-benar terkejut apabila mendapati jasad ayah masih sempurna. Kepala, tangan, badan, siku dan kaki masih dalam keadaan lengkap.

“Lebih menghairankan, jenazah itu tidak mengeluarkan sebarang bau dan tidak terlalu berat ketika diangkat keluar dari liang lahad,” katanya.

Menurutnya, beberapa kubur lain yang dipindahkan pada hari sama hanya tinggal tulang-belulang yang kemudian dikumpulkan dalam bekas khas sebelum dibungkus semula dengan kain kafan untuk dikebumikan di lokasi baharu.

Bagaimanapun, keadaan berbeza berlaku terhadap jasad bapanya sehingga menyebabkan ramai penduduk yang hadir tidak dapat menyembunyikan rasa terharu dan kagum.

“Kami sebenarnya sudah menyediakan sebuah kotak kecil untuk menyimpan tulang-belulang ayah seperti mana dilakukan terhadap jenazah lain.

“Namun apabila mendapati jasadnya masih sempurna, kami semua menjadi sebak. Ada yang menitiskan air mata kerana tidak menyangka akan melihat keadaan seperti itu,” katanya.

Selepas proses pemindahan selesai, jasad Allahyarham dibalut semula menggunakan kain kafan baharu sebelum dikebumikan semula di kawasan tanah perkuburan yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi asal.

Miyos berkata, beliau tidak berani membuat sebarang tafsiran mengenai keadaan jasad bapanya yang masih utuh selepas 26 tahun.

Menurutnya, hanya ALLAH SWT yang mengetahui segala amalan seseorang ketika hidup.

“Ramai yang bertanya kepada saya apakah amalan arwah sehingga jasadnya masih sempurna. Saya tidak mampu menjawab perkara itu kerana hanya ALLAH yang mengetahui segala amalannya.

“Yang saya ingat, arwah seorang yang sederhana, sabar, kuat bekerja dan sentiasa mengalah dalam banyak perkara,” katanya.

Beliau berkata, bapanya juga sering mengingatkan anak-anak supaya menjaga hubungan kekeluargaan dan hidup dalam keadaan harmoni.

“Pesanan yang paling saya ingat sehingga hari ini ialah supaya kami adik-beradik sentiasa hidup rukun dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Desa Candirejo, Ade Putra yang turut menyaksikan proses pemindahan kubur berkenaan mengakui terkejut dengan keadaan jasad Abu Zamroh.

Menurutnya, ketika jenazah diangkat keluar, kain kafan yang membaluti tubuh Allahyarham masih kelihatan utuh walaupun sudah berada di dalam tanah selama lebih dua dekad.

“Tidak ada tulang yang terpisah. Kain kafan masih membaluti jasad dengan baik walaupun sebahagiannya sudah mula berserabut akibat faktor masa.

“Lebih luar biasa, tali pengikat kain kafan juga masih ada dan jasad itu tidak mengeluarkan sebarang bau,” katanya.

Ade berkata, penemuan tersebut menjadi perbualan hangat dalam kalangan penduduk kampung dan menarik perhatian ramai yang hadir ke lokasi pemindahan kubur.

“Ada yang menangis, ada yang terdiam kerana terkejut. Ramai melihat kejadian ini sebagai sesuatu yang luar biasa dan menginsafkan.

“Ia mengingatkan kita bahawa kehidupan di dunia hanyalah sementara dan setiap manusia akan kembali kepada Pencipta-Nya,” katanya.

Beliau menjelaskan, keputusan memindahkan kubur dibuat demi keselamatan kerana kawasan perkuburan lama terletak di atas tebing yang semakin terhakis.

Menurutnya, tanah perkuburan itu telah digunakan sejak awal 1990-an di atas tanah wakaf yang diberikan penduduk setempat sejak tahun 1980-an.

Penemuan jasad Abu Zamroh yang masih sempurna selepas 26 tahun dikebumikan kini menjadi perhatian masyarakat di Riau dan turut tular di media sosial, dengan ramai netizen berkongsi rasa kagum serta mengambil iktibar daripada kejadian tersebut. – Agensi

Mesti Baca

Scroll to Top