Panama Skuad paling berusia di Piala Dunia 2026

Panama Skuad paling berusia di Piala Dunia 2026
Panama Skuad paling berusia di Piala Dunia 2026

Panama mengatasi Colombia yang berada di kedudukan kedua dengan purata 30.1 tahun, sekali gus meletakkan negara Amerika Tengah itu sebagai pasukan paling bergantung kepada pemain berpengalaman. – Agensi

PANAMA muncul sebagai pasukan dengan skuad paling berusia menjelang Piala Dunia FIFA 2026 selepas data analisis menunjukkan purata umur mereka mencecah 30.4 tahun, tertinggi antara 48 negara yang bertanding.

Menurut laporan analisis skuad terkini, Panama mengatasi Colombia yang berada di kedudukan kedua dengan purata 30.1 tahun, sekali gus meletakkan negara Amerika Tengah itu sebagai pasukan paling bergantung kepada pemain berpengalaman di kejohanan kali ini.

Skuad Panama turut menyenaraikan sekurang-kurangnya 13 pemain berusia 30 tahun ke atas, dengan kapten Aníbal Godoy (36) dan pemain berpengalaman Alberto Quintero (38) antara tonggak utama dalam barisan utama pasukan.

Selain itu, nama-nama seperti Cecilio Waterman, Eric Davis dan penjaga gol Luis Mejía turut memperkukuh reputasi Panama sebagai pasukan yang mengutamakan pengalaman berbanding tenaga muda.

Walaupun rata-rata pasukan dunia kini cenderung menampilkan generasi baharu, Panama mengekalkan teras pemain senior yang pernah membantu mereka layak ke edisi 2018 serta melakar sejarah penyertaan pertama di pentas Piala Dunia.

Dalam laporan FIFA, keseluruhan skuad 48 pasukan kali ini menampilkan 1,248 pemain, dengan jurang umur paling ketara antara pemain tertua iaitu penjaga gol Scotland berusia 43 tahun dan pemain termuda berusia 17 tahun.

Namun dalam konteks skuad paling tua, Panama kekal berada di kedudukan teratas, sekali gus menjadikan mereka antara pasukan yang bakal menguji ketahanan fizikal dalam saingan berformat baharu 48 pasukan itu.

Piala Dunia 2026 dijadual bermula 12 Jun ini di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Mesti Baca

Scroll to Top