
Anwar hadir pada Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
KUALA LUMPUR – Kerajaan ketika ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mentadbir negara dan tidak melihat keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan pelaksanaan dasar serta tanggungjawab pentadbiran berjalan dengan baik.
Mengulas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin lalu, beliau berkata, ia merupakan keputusan dan pertimbangan pihak berkenaan.
“Ia keputusan mereka (Barisan Nasional Johor). Kami ada keutamaan kami dan fokus kepada tugas kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini pada Khamis.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN negeri itu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Katanya, pembubaran tersebut bagi memberi laluan kepada proses demokrasi melalui Pilihan Raya Negeri (PRN), yang tarikh penamaan calon dan pengundian akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sementara itu, pada 17 Mei lalu, Anwar membayangkan kemungkinan pembubaran Parlimen lebih awal bagi memberi laluan kepada PRU16 sekiranya berlaku gangguan terhadap kestabilan politik dalam kalangan rakan kerjasama Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pendirian berkenaan susulan keputusan UMNO dan Barisan Nasional untuk bertanding di semua kerusi di Johor. – Awani



