MN 2.0: Annuar Musa bentang ‘formula’ agihan kerusi Pas-UMNO hadapi PRU16

MN 2.0: Annuar Musa bentang ‘formula’ agihan kerusi Pas-UMNO hadapi PRU16

SHAH ALAM – Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mengemukakan ‘formula’ pembahagian kerusi antara Pas dan UMNO sekiranya mahu menjayakan MN 2.0 bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang bakal menjelang.

Annuar berkata, pertembungan antara saranan MN 2.0 dengan keputusan UMNO yang kini menggerakkan Rumah Bangsa adalah satu jalan bagi menjayakan semula agenda penyatuan ummah.

“Kedua-duanya ada persamaan. Ia memerlukan muafakat dan penyatuan, terutamanya antara UMNO dan Pas atau Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

“Pada saya, nama tidak penting. Jika ada persetujuan antara kedua-dua parti, gunalah nama Rumah Bangsa atau Musyawarah Nasional atau MN yang pernah diutarakan oleh UMNO.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, gagasan MN 2.0 dijayakan demi memperkukuh politik Melayu dan umat Islam menjelang beberapa pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung.

Tuan Ibrahim berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu membuka ruang kepada satu gelombang perubahan baharu dalam landskap politik negara yang berpotensi mengembalikan semula kekuatan politik Melayu-Islam.

Ujarnya, usaha penyatuan itu perlu disegerakan, bermula dengan mendepani PRN Johor dan terus diperkukuh pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Annuar menjelaskan, Johor yang dianggap sebagai kubu kuat UMNO boleh menjadi permulaan bagi UMNO bertanding sehingga 90 peratus kerusi pengundi majoriti Melayu, manakala Pas diberikan ruang bertanding di antara 10 hingga 20 peratus kerusi.

Tambah beliau, Kelantan sebagai kubu Pas perlu pertimbangkan 10 hingga 20 peratus kerusi kepada UMNO, manakala selebihnya ditandingi oleh parti itu.

“Jika perlu, kita boleh pertimbangkan PRN serentak Kelantan dan Johor. Bagaimanapun, ini lontaran peribadi dan tidak mewakili suara mana-mana pihak.

Annuar menegaskan, sekiranya UMNO memilih untuk menolak pelan rundingan dan kekal mempertahankan hubungannya dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), maka Pas perlu terus menggalas komitmen membentuk muafakat besar menuju PRU16.

“Bagi saya, yang penting orang Melayu dan Islam serta parti mereka perlu muafakat dan tidak berpecah. Pemimpin mesti berani meneroka muafakat atas dasar persamaan matlamat dan ketepikan perbezaan dan masa lampau.

“Kita sama sama doakan penyatuan Melayu dan Islam benar-benar terbina, dengan izin ALLAH SWT,” ujarnya.

 

 

Mesti Baca

Scroll to Top