KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Aizat Amdan mengakui dirinya masih terkesan dengan pemergian abang sulungnya, Allahyarham Amir Amdan, pada 14 Mei lalu.
Menurut Aizat, dirinya masih berusaha untuk menerima hakikat tentang pemergian abang kesayangannya itu yang difahamkan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
“Bagi saya, kehilangan insan tersayang secara mengejut adalah yang paling menyakitkan. Arwah tidak mempunyai sebarang penyakit. Kami juga tak nampak sebarang tanda dia mempunyai masalah kesihatan.
“Tiada tanda-tanda awal atau sejarah keluar masuk hospital. Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Dia mengadu sakit dada dan pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
“Namun, dia rebah di hadapan klinik. Semuanya berlaku dengan sangat mengejut. Saya difahamkan ia berkaitan serangan jantung,” katanya.
Aizat berkongsi perkara itu ketika ditemui dia sidang media pelancaran konsert Spotlight KL di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Bagaimanapun, penyanyi lagi Hanya Engkau Yang Mampu itu menyifatkan abang sulungnya itu seorang yang penyayang dan bertanggungjawab dalam segala perihal berkaitan adik-beradiknya.
“Apabila dia pergi, perkara itu memberi kesan besar kerana dia anak sulung dan secara tidak langsung menjadi ketua dalam keluarga kami. Kami enam adik-beradik sangat rapat.
“Disebabkan ibu bapa kami sudah berpisah, hubungan adik-beradik menjadi sangat penting dalam hidup kami. Kadang-kadang bukan persetujuan ibu bapa yang kami cari, tetapi persetujuan sesama adik-beradik.
“Namun, dia bukan seorang ketua yang suka mengarah. Dia memimpin dengan caranya sendiri, melalui sikap mesra, penyayang dan sentiasa mengambil berat tentang kami,” jelasnya.
Dalam masa sama, Aizat menyifatkan Allahyarham Amir sebagai antara individu yang penting dalam perjalanan seninya sejak awal pembabitan dalam industri muzik.
“Syarikat saya iaitu Kasi Gegar Entertainment, namanya diberi oleh arwah. Dia yang mencadangkan nama itu. Malah, dia juga individu pertama yang menguruskan kerjaya saya selepas saya melangkah ke dalam industri seni,” katanya.
Terdahulu, Aizat bergegas pulang sebaik selesai sidang media pelancaran single Ajar Aku susulan menerima berita pemergian Amir.
Dalam perkembangan lain, Aizat bakal beraksi di konsert Spotlight KL di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 22 Ogos ini.
Selain Aizat, konsert yang bertemakan showcase itu turut dimeriahkan dengan barisan penyanyi yang lain seperti, Noryn Aziz, Imran Ajmain, Iman Troye, SOG dan Orked Farhan.




