Tragedi pelantar minyak Sepat: Isteri masih tunggu laporan lengkap punca kematian suami

Tragedi pelantar minyak Sepat: Isteri masih tunggu laporan lengkap punca kematian suami

TIMUR: Balu Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim masih tunggu punca tragedi pelantar minyak Sepat

Oleh Asrol Awang

bhnews@bh.com.my

am@hmetro.com.my

pic Muhammad Delima Atan

Kuantan: Balu kepada Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam yang terkorban dalam tragedi di pelantar minyak Sepat di perairan Terengganu-Kelantan, pada 24 Mei lalu, masih menunggu laporan lengkap berhubung kejadian itu.

Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri, 28 berkata setakat ini tiada sebarang perkembangan dan laporan lengkap kejadian terbabit daripada majikan Allahyarham.

Katanya, dia difahamkan kes masih dalam siasatan dan kini hanya menunggu punca kejadian yang menyebabkan suami dan dua individu lain terkorban.

“Belum ada keputusan lengkap dan semua masih dalam siasatan lagi. Setakat ini saya tidak tahu apa-apa perkembangan terbaharu.

“Memang ajal di tangan Allah SWT tetapi saya nak tahu punca kejadian yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman LKNP, Bukit Setongkol di sini hari ini.

Nurkhaeryna Dhania Azreen berkata demikian selepas Ziarah Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan.

Pada sesi ziarah itu, Sabariah menyampaikan sumbangan daripada Kerajaan Pahang dan PERKESO kepada Nurkhaeryna Dhania Azreen.

Hadir sama, Pengarah PERKESO Pahang, Hisham Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Khairul Amri Ahmad.

Mengulas faedah daripada PERKESO yang diterima, Nurkhaeryna Dhania Azreen bersyukur kerana wang yang diterima itu dapat meringankan bebannya bersama anak perempuan, Nur Hawa Dharwisya yang berusia setahun tujuh bulan.

“Sebagai suri rumah, dengan faedah PERKESO ini dapat menampung dan pada masa sama sebagai persediaan untuk kelahiran anak kedua yang dijangka pada 30 Julai ini.

“Anak pertama, arwah suami menemani saya bersalin dan untuk kelahiran anak kedua kami, saya tidak tahu macam mana perasaan tetapi harap segalanya baik dengan ditemani keluarga,” katanya.

Sementara itu, Sabariah berkata, sumbangan yang diterima itu diharap membantu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim, khususnya isteri dan anak.

“Alhamdulillah, majikan Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim membuat caruman PERKESO dan layak mendapat faedah,” katanya.

Dalam kejadian pada 12.50 tengah hari, 24 Mei lalu, selain Muhammad Faezuan Hakim, 28, turut terkorban Ahmad Fiqri Zakaria, 38 dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 37 manakala Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37 pula mengalami kecederaan parah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top