
Alwiyah mengumumkan keluar dari Bersatu dan kembali sertai UMNO pada Khamis.
MERSING – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kembali menyertai UMNO.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Mersing berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai aspek yang disifatkan penting demi kebaikan serta masa depan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau.
Menurut beliau, keputusan tersebut turut melibatkan peletakan semua jawatan yang disandangnya dalam Bersatu dan dibuat atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
“Setelah mengambil kira beberapa aspek, demi kebaikan dan masa depan DUN Endau, saya telah membuat keputusan untuk mengumumkan keluar daripada parti Bersatu dan meletakkan segala jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta-merta serta kembali bersama UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.
Alwiyah menegaskan bahawa pendiriannya untuk terus berkhidmat kepada rakyat di DUN Endau tidak akan berubah meskipun mengambil keputusan meninggalkan Bersatu.
Katanya, langkah tersebut dibuat demi memastikan kelangsungan pembangunan kawasan serta memperkukuh aspek penyatuan dalam kalangan masyarakat di DUN berkenaan.
“Saya percaya tindakan ini dibuat antara lain demi kelangsungan dan masa depan yang lebih baik selain terus memperkukuh aspek penyatuan bagi DUN Endau,” ujarnya.
Dalam pada itu, Alwiyah turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi dan semua pihak yang telah memberikan sokongan serta kerjasama sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan tersebut sejak 2018.
Beliau berharap hubungan baik yang terjalin selama ini dapat diteruskan demi memastikan kebajikan rakyat Endau terus terbela.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2018, Alwiyah pertama kali memenangi kerusi DUN Endau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket Barisan Nasional (UMNO).
Namun, pada Mei 2018, beliau bersama beberapa ADUN Johor yang lain telah keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu.
Pada PRN2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau di bawah tiket Perikatan Nasional (PN-BERSATU) dalam pertandingan lima penjuru.
Alwiyah dilantik sebagai Ketua Bahagian Bersatu Mersing berkuat kuasa 10 Mac lalu.
Setiausaha Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Samsudin Ismail dilaporkan berkata, Alwiyah menerima watikah pelantikan tersebut dalam majlis Iftar Bersatu di Melawati, Kuala Lumpur.



