DUN Perlis lulus usul cadangan pemberatan hukuman pesalah pemandu mabuk

DUN Perlis lulus usul cadangan pemberatan hukuman pesalah pemandu mabuk

Kangar: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini meluluskan usul Cadangan Pemberatan Hukuman Mandatori dan Pemerkasaan Penguatkuasaan Terhadap Pesalah Pemandu Di Bawah Pengaruh Alkohol (DUI) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Digital, Pengangkutan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Wan Zikri Afthar Ishak ketika mengemukakan usul itu berkata ia bagi mendesak satu tindakan bersepadu antara agensi negeri dan Persekutuan dalam memperkukuh mekanisme pencegahan serta hukuman terhadap pemandu mabuk.

“… demi menjamin keselamatan nyawa, terutamanya rakyat di Perlis yang kita cintai ini,” katanya semasa persidangan DUN itu di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.

Beliau berkata usul berkenaan bersifat umum, inklusif dan tidak sesekali menyasarkan mana-mana agama, kaum atau golongan tertentu dengan ia menumpukan sepenuhnya kepada aspek keselamatan awam, keadilan sosial dan tanggungjawab bersama semua pengguna jalan raya.

Wan Zikri Afthar mencadangkan lima tindakan drastik yang perlu diambil bersama melalui ketetapan dalam persidangan DUN itu iaitu memfailkan syor tegas kepada Kerajaan Persekutuan, pemerkasaan penguatkuasaan peringkat negeri, kawal selia premis dan tanggungan sosial syarikat, langkah pencegahan dan kesedaran belia serta sokongan mutlak kepada mangsa dan keluarga.

Beliau berkata keselamatan jalan raya adalah hak asasi rakyat dan bukannya isu perdebatan undang-undang semata-mata, iaitu ia adalah soal nyawa manusia dan Perlis tidak boleh terus menjadi pemerhati bisu terhadap tragedi yang berulang itu.

Usul itu juga, katanya bukan sekadar untuk menghukum pesalah tetapi juga memastikan tiada lagi nyawa yang terkorban sia-sia akibat kecuaian yang boleh dielakkan.

“Setiap kematian akibat pemandu mabuk adalah satu kegagalan sistemik yang sebenarnya boleh dicegah melalui dasar yang lebih tegas dan pelaksanaan yang lebih berkesan di peringkat lapangan,” katanya.

Selain itu, persidangan DUN itu turut meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Peruntukan Diraja (Pindaan) 2026.

Persidangan DUN Perlis bersambung esok

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top