London: Pengerusi Manchester City, Khaldoon Al Mubarak mendedahkan Pep Guardiola hampir meletakkan jawatan ‘100 kali’ sebelum akhirnya meninggalkan kelab itu pada penghujung musim lalu.
Guardiola berundur selepas memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan satu trofi Liga Juara-Juara Eropah (EPL) sepanjang sedekad gemilangnya di Stadium Etihad.
Walaupun Guardiola menikmati kejayaan luar biasa bersama City, Khaldoon berkata, jurulatih dari Sepanyol yang beremosi itu sentiasa memikirkan untuk meletakkan jawatan ketika melalui detik sukar sepanjang tempohnya mengendalikan pasukan.
“Tidak dapat dielakkan sepanjang 10 tahun lalu kami mengalami banyak detik gemilang dan beberapa detik sukar dan ketika detik sukar itu, dia pasti sudah meletakkan jawatan 100 kali sepanjang 10 tahun ini, sekadar untuk anda tahu dan sebagai rekod,” katanya kepada saluran media City, hari ini.
“Ada kisah yang anda semua tahu, Budak yang Menjerit Serigala. Dalam kes Pep, apabila dia berkata ‘saya berhenti’, itu tidak bermakna dia benar-benar berhenti. Anda tidak boleh mengambilnya terlalu serius – anda perlu menguruskannya.
“Setiap kali dia mahu berhenti atau merasakan sudah tiba masanya, saya sentiasa akan memujuknya untuk kembali, sehingga tiba saat saya tahu ia benar-benar masanya dan kami sudah sampai ke tahap itu. Saya tahu dan sebab itu saya tidak menghalangnya.”
Guardiola memenangi 20 trofi bersama City, termasuk Piala FA dan Piala Liga pada musim terakhirnya.
Namun, jurulatih berusia 55 tahun itu berundur selepas mengakui dia tidak lagi mempunyai tenaga yang diperlukan untuk membawa City terus maju.
City sudah dua tahun gagal memenangi gelaran EPL dan menamatkan musim ini tujuh mata di belakang juara, Arsenal, sekali gus mencetuskan dakwaan mereka bukan lagi kuasa seperti dahulu.
Menjawab kritikan itu, Khaldoon berkata: “Kami jauh daripada mencapai kemuncak. Kami sudah biasa kerana ia berada dalam DNA kami untuk menang. Ini adalah kelab yang direka dan dibina untuk menang.
“Jelas sekali dengan penambahan yang akan kami lakukan pada musim panas ini, saya sangat yakin. Saya fikir tahun depan kami akan kembali dengan lebih kuat.”
Bekas pengurus Chelsea, Enzo Maresca dijangka dilantik sebagai pengganti Guardiola dalam masa terdekat.
Maresca memenangi Liga Konferensi UEFA dan Piala Dunia Kelab bersama Chelsea serta pernah berkhidmat sebagai pembantu Guardiola di City pada musim 2022-23.
Ditanya mengenai pelan penggantian pengurus City, Khaldoon berkata: “Apa yang boleh saya katakan ketika ini ialah kami telah melalui proses yang sangat teliti dan tersusun dan pasukan ini yakin, saya juga yakin, kami akan membawa masuk pengurus yang tepat untuk kelab ini.
“Bersabarlah dengan kami. Tidak lama lagi kami akan mengumumkannya dan anda akan berasa sangat yakin bahawa kami telah memilih dan membawa masuk pengurus terbaik yang mungkin.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




