Seorang pekerja sektor pengeluaran yang mengalami patah tulang siku kanan selepas terjatuh di rumah menerima perlindungan penuh di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kes membabitkan Ngo Tuban itu merupakan kes kedua direkodkan selepas insiden di Simpang Renggam.
Menurut beliau, lelaki berusia 55 tahun itu mengalami kecederaan berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Sibu oleh ahli keluarganya selepas keadaan tangan kanannya semakin membengkak.
“Hasil pemeriksaan doktor, mangsa memerlukan implan berupa fixed angle olecranon locking plate dengan segera,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Beliau berkata, selaras peluasan perlindungan 24 jam termasuk ketika berada di rumah dan cuti umum, mangsa layak menerima bekalan implan serta kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO.
“Malah, semua cuti sakit yang diterima akan dibayar oleh PERKESO kerana merupakan sebahagian Faedah Hilang Upaya Sementara di bawah LINDUNG 24 Jam,” katanya.
Menurutnya lagi, peluasan skim itu memastikan pencarum terus dilindungi walaupun berlaku kemalangan di luar waktu kerja.

Selain itu, PERKESO turut menanggung rawatan pemulihan bagi membantu pesakit memulihkan fungsi tangan kanan yang tercedera.
Artikel lain: Nahas Simpang Renggam: 2 mangsa penerima pertama manfaat LINDUNG 24 Jam
Terdahulu, dua mangsa yang cedera dalam kemalangan ngeri di Simpang Renggam menjadi individu pertama di negara ini menerima manfaat di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 Jam yang mula berkuat kuasa mulai 1 Jun.
Mangsa terbabit, Husnizam Hisamudin, 43, dan Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22, disahkan sebagai pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), sekali gus melayakkan mereka menerima bayaran cuti sakit serta faedah kecacatan kekal daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Kedua-dua mangsa turut layak menerima rawatan implan, peralatan pemulihan serta rehabilitasi tanpa had mengikut keperluan masing-masing.
Dalam pada itu, waris kepada tiga mangsa yang maut dalam kemalangan itu turut layak menerima faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 menerusi skim LINDUNG Pekerja, tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan.
Sumber: FB Dr. Azman Aziz




