am@hmetro.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan sudah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan seperti yang termaktub di bawah Fasal 56(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pengerusinya Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pemakluman itu diterima daripada Yang di-Pertua DUN Negeri Sembilan, Datuk M K Ibrahim Abd Rahman melalui surat bertarikh hari ini.
“Berdasarkan Fasal 56 (4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Negeri terbabit.
“Sehubungan dengan itu, satu Mesyuarat Khas untuk membincangkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri, Negeri Sembilan akan diadakan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan hari ini untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, mengumumkan perkara itu dalam sidang media khas di kediamannya, di sini, malam tadi, sekali gus mengakhiri spekulasi pembubaran DUN sejak beberapa minggu lalu.
Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada PRN selepas Johor yang berbuat demikian pada Isnin lalu.
Aminuddin dilaporkan berkata, pembubaran itu dibuat selepas beliau mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




