
DIBENARKAN untuk wanita memakai wangian apabila keluar rumah untuk ke tempat kerja atau ke pasar dengan syarat ia tidak terlampau kuat baunya sehingga menarik lelaki ajnabi. Foto Canva
Soalan
Apakah wanita yang keluar rumah untuk bekerja atau ke pasar dibolehkan untuk memakai wangi-wangian?
Jawapan
Dalam isu wanita memakai wangi-wangian ketika keluar rumah, terdapat beberapa hadis yang menghuraikan perbuatan ini, antaranya Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau daripadanya, maka perempuan itu adalah penzina.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan An-Nasaie)
Imam Al-Munawi menyebutkan apa yang dimaksudkan dengan hadis ialah wanita yang memakai minyak wangi yang terzahir dan kuat baunya, kemudian keluar dari rumah lalu melewati satu kaum iaitu lelaki-lelaki ajnabi dan jika memang itu tujuannya, maka perempuan itu merupakan penzina dari sudut mendapatkan dosanya.
Di sana jelas menunjukkan haram wanita untuk mengenakan wangian apabila keluar dari rumah.
Jenis wangian yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah wangian yang zahir kuat baunya sehingga mengalihkan pandangan lelaki ajnabi untuk tertumpu kepadanya yang mana ia boleh menggerakkan syahwat lelaki kepada berlakunya kepada perkara yang lebih buruk.
Jika begitu keadaanya, maka perbuatan tersebut dihukumkan sebagai haram dan berdosa besar walaupun suaminya mengizinkan dia berbuat demikian.
Adapun mengenakan sedikit wangian-wangian bagi tujuan menghilangkan bau badan seperti memakai deodoran, bedak, sabun dan sebagainya, ia dibenarkan dan ia tidaklah termasuk dalam kategori yang disebutkan dalam hadis Nabi SAW sebelum ini.



