INDEKS utama Wall Street ditutup dengan kerugian besar pada Jumaat apabila pasaran dibebani gelombang jualan saham teknologi susulan kenaikan mendadak sebelum ini yang dipacu pelaburan kecerdasan buatan (AI), selain kebimbangan terhadap kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).
Harga minyak turut menyusut walaupun pertempuran di Lubnan berterusan dan tiada perkembangan ketara dalam usaha mencapai perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang berpotensi membuka semula laluan eksport tenaga melalui Selat Hormuz.
Data menunjukkan ekonomi AS menambah 172,000 pekerjaan pada Mei, jauh mengatasi jangkaan 80,000 pekerjaan oleh ahli ekonomi yang ditinjau Dow Jones Newswires dan The Wall Street Journal.
Angka bagi dua bulan sebelumnya turut disemak naik sebanyak 93,000 pekerjaan, mencerminkan ketahanan ekonomi AS ketika kos tenaga yang meningkat akibat konflik di Asia Barat mula memberi kesan kepada pengguna dan perniagaan.
Penganalisis eToro, Bret Kenwell berkata, data tersebut merupakan berita baik kepada ekonomi AS, namun mungkin tidak begitu disenangi oleh peminjam dan pelabur.
Menurutnya, dalam senario terbaik, penyelesaian pantas konflik yang membolehkan harga minyak turun dapat membantu Fed menangani lonjakan inflasi semasa tanpa perlu mengetatkan dasar monetari.
“Namun, jika pembuat dasar mula membincangkan kenaikan kadar faedah atau mengambil pendirian yang lebih agresif, ia boleh menjejaskan lonjakan pasaran saham yang berlaku sejak kebelakangan ini,” katanya.
Hasil bon Perbendaharaan AS meningkat selepas data pekerjaan dikeluarkan berikutan jangkaan pelabur bahawa Fed mungkin mengekalkan kadar faedah lebih tinggi untuk tempoh lebih lama.
Nilai dolar AS turut mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Penganalisis XTB, Kathleen Brooks berkata laporan itu meningkatkan tekanan terhadap Fed untuk meninggalkan kecenderungan melonggarkan dasar monetari, namun belum cukup untuk mencetuskan jangkaan meluas mengenai kenaikan kadar faedah dalam masa terdekat.
Semua indeks utama Wall Street merekodkan kerugian ketara dengan Nasdaq menjunam lebih empat peratus, S&P 500 susut lebih dua peratus dan Dow Jones kehilangan lebih satu peratus.
Selepas memacu pasaran ekuiti ke paras rekod tahun ini, syarikat teknologi kini berdepan tekanan jualan berikutan kebimbangan bahawa perbelanjaan besar-besaran dalam sektor AI mungkin terlalu berlebihan.
Kumpulan syarikat yang dikenali sebagai ‘Magnificent Seven’, termasuk penggiat AI seperti Nvidia, Alphabet dan Meta Platforms, semuanya ditutup rendah.
Saham Meta turut tertekan selepas laporan menyatakan syarikat itu sedang mempertimbangkan tawaran saham bagi mengumpul dana berpuluh-puluh bilion dolar untuk memperkukuh pelaburan AI.
Pengeluar cip AS, Broadcom, turut mencetuskan kebimbangan minggu ini apabila unjuran hasil suku ketiganya lebih rendah daripada jangkaan pasaran.
Saham Broadcom merosot hampir lapan peratus pada Jumaat, manakala saham pesaingnya, Micron Technology, menjunam lebih 13 peratus.
Penganalisis Briefing.com, Patrick O’Hare berkata pelabur kini mula menyedari bahawa rali pasaran sejak paras rendah Mac mungkin telah mencapai kemuncaknya buat sementara waktu.
“Banyak pelabur mengambil kesempatan untuk menjual pegangan selepas menikmati kenaikan yang berpanjangan,” katanya.
Kejutan dalam sektor teknologi turut menular ke pasaran Asia.
Pasaran saham Korea Selatan yang banyak dipengaruhi syarikat teknologi menjunam hampir tujuh peratus pada satu ketika sebelum menutup dagangan dengan kerugian 5.5 peratus.
Indeks Nikkei di Tokyo pula susut lebih satu peratus, menyamai penurunan yang dicatatkan sehari sebelumnya.
Kerugian itu berlaku ketika pelabur menantikan tawaran awam permulaan (IPO) oleh SpaceX yang diasaskan oleh Elon Musk dan menyasarkan kutipan AS$75 bilion dalam IPO terbesar dunia.
Di Eropah, pasaran Frankfurt dan Paris turut ditutup rendah selepas data rasmi menunjukkan ekonomi zon euro menguncup pada suku pertama tahun ini, didorong oleh kemerosotan ketara output Ireland akibat pelarasan perakaunan syarikat multinasional. – Agensi
Petunjuk Pasaran Utama
Minyak Brent: susut 2.0% kepada AS$93.09 setong
West Texas Intermediate (WTI): susut 2.7% kepada AS$90.54 setong
Dow Jones: susut 1.4% kepada 50,866.78 mata
S&P 500: susut 2.6% kepada 7,383.74 mata
Nasdaq: susut 4.2% kepada 25,709.43 mata
FTSE 100 London: naik kurang 0.1% kepada 10,368.05 mata
CAC 40 Paris: susut 0.3% kepada 8,218.24 mata
DAX Frankfurt: susut 0.8% kepada 24,759.05 mata
Nikkei 225 Tokyo: susut 1.3% kepada 66,588.12 mata
Hang Seng Hong Kong: susut 1.2% kepada 24,961.95 mata
Indeks Komposit Shanghai: susut 0.7% kepada 4,027.74 mata.



