
Husna memohon maaf kepada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah selepas membuat keputusan menolak pelantikan sebagai Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri Besar.
KANGAR – Ketua Dewan Muslimat Pas Perlis, Husna Hashim memohon maaf kepada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah selepas membuat keputusan menolak pelantikan sebagai Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri Besar yang diumumkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Jumaat.
Menerusi satu kenyataan video yang dimuat naik di TikTok, Husna berkata, beliau amat menghargai kepercayaan dan penghormatan yang diberikan oleh Abu Bakar menerusi tawaran jawatan berkenaan.
Menurutnya, pelantikan tersebut sememangnya berada dalam pengetahuannya dan beliau memahami usaha yang dilakukan Menteri Besar dalam suasana politik negeri yang masih bergelora ketika ini.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB kerana telah menawarkan jawatan ini kepada saya dan bagi saya secara peribadi, ia merupakan satu penghormatan yang amat saya hargai.
“Saya juga faham dalam keadaan suasana politik di negeri Perlis yang agak panas dan bergelora ini, ini adalah antara usaha YAB untuk mengharmonikan keadaan kita.
“Namun, saya ingin memohon maaf kepada YAB kerana saya terpaksa menolak tawaran jawatan sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Perlis atas sebab-sebab yang tidak dapat saya kongsikan di sini,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Abu Bakar sentiasa berusaha memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dan mengutamakan kepentingan negeri.
Dalam masa sama, Husna mendoakan agar urusan kepimpinan Menteri Besar serta kerjasama antara wakil rakyat Pas dan Bersatu dalam kerajaan negeri dipermudahkan dan diberkati.
“Saya sentiasa mendoakan semoga usaha murni yang YAB lakukan untuk rakyat Perlis akan dipermudahkan dan semoga kepimpinan YAB bersama-sama wakil rakyat daripada Bersatu dan juga Pas diberkati oleh ALLAH SWT,” katanya.
Pada Jumaat, Abu Bakar ketika sesi penggulungan Persidangan DUN Perlis mengumumkan pelantikan Husna sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan pelantikan Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil sebagai Penyelaras DUN Guar Sanji, Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kangar, Jamil Kamis sebagai Penyelaras DUN Bintong dan Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Padang Besar, Abdul Aziz Ahmad sebagai Penyelaras DUN Chuping.
Pelantikan itu dibuat susulan kekosongan luar jangka yang berlaku di tiga kerusi DUN berkenaan selepas kemelut politik yang melanda negeri itu sejak beberapa bulan lalu.



