Mexico: Bintang muda Lamine Yamal dan rakan sepasukannya di bahagian sayap, Nico Williams dijangka kembali cergas dan bersedia untuk aksi pembukaan Sepanyol menentang Cape Verde pada 15 Jun, menurut jurulatih Luis de la Fuente, hari ini.
Yamal, yang beraksi bersama FC Barcelona serta pemain sayap Athletic Bilbao, Williams terlepas aksi penghujung musim kelab masing-masing akibat kecederaan hamstring. Kepulangan mereka pastinya menjadi suntikan besar buat juara Eropah itu menjelang kempen Piala Dunia 2026.
Seorang lagi pemain sayap, Victor Munoz dari Osasuna, juga dijangka pulih tepat pada masanya untuk perlawanan pertama Sepanyol di Atlanta.
Bagaimanapun, ketiga-tiga pemain tersebut tidak menyertai skuad ke Mexico untuk perlawanan persahabatan menentang Peru esok sebaliknya kekal di kem latihan pasukan di Amerika Syarikat bagi meneruskan proses pemulihan.
“Kami kecewa mereka tidak bersama kami di sini, tetapi kakitangan perubatan dan kecergasan menasihatkan mereka supaya kekal di sana,” kata de la Fuente.
“Ketiga-tiga mereka sepatutnya sudah bersedia untuk perlawanan seterusnya… proses pemulihan berjalan dengan baik dan mereka menunjukkan perkembangan yang sangat positif.”
Sepanyol dilihat sebagai antara pasukan pilihan untuk menjulang trofi Piala Dunia yang berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syrikat, dengan Yamal yang baru berusia 18 tahun dijangka menjadi salah seorang pemain tumpuan kejohanan.
Selepas menentang Cape Verde, Sepanyol sekali lagi beraksi di Atlanta menentang Arab Saudi sebelum menamatkan kempen peringkat kumpulan dengan perlawanan menentang Uruguay di Guadalajara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




