
Gobind Singh (tiga dari kiri) hadir perasmian platform pusat data Digital Realty pada Isnin.
PELABURAN baharu Digital Realty dijangka memperkukuh ekosistem ekonomi digital negara apabila syarikat pengendali pusat data terbesar dunia tersebut bakal mengembangkan kapasiti pusat datanya di Malaysia sehingga 32 megawatt (MW).
Menteri Digital Malaysia, Gobind Singh Deo berkata, perkembangan tersebut menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab infrastruktur digital dan kecerdasan buatan (AI) utama di Asia Tenggara.
Menurutnya, pelaburan Digital Realty merupakan langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab infrastruktur digital yang berdaulat, saling berhubung dan mampan.
“Seiring lonjakan permintaan terhadap perkhidmatan awan, AI dan data, pembangunan pusat data berkualiti tinggi dengan kesalinghubungan global akan menjadi kritikal dalam menyokong inovasi, menarik pelaburan selain membolehkan ekonomi digital Malaysia berkembang dengan lebih berdaya tahan serta berskala.

KUL11 merupakan salah satu kemudahan pusat data yang baharu dibina khusus dengan kapsiti IT sebanyak 15MW, direka untuk menyokong beban kerja AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi.
“Pelaburan dalam infrastruktur digital canggih sedemikian juga penting bagi menyokong aspirasi AI negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi serantau,” katanya sempena perasmian platform pusat data Digital Realty di Malaysia di sini pada Isnin.
Kampus yang berpusat di Cyberjaya berkenaan, dibangunkan bagi membantu perusahaan Malaysia tanpa mengira saiz, beralih daripada persekitaran IT tradisional kepada seni bina hibrid serta aplikasi berasaskan AI.
Ia dirancang sebagai projek berbilang lokasi yang merangkumi tiga kemudahan dihubungkan melalui rangkaian gentian optik khusus.
Pelanggan di Malaysia akan mendapat akses secara berperingkat kepada ekosistem global Digital Realty yang merangkumi lebih 300 pusat data di lebih 30 negara.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Asia Pasifik Digital Realty, Serene Nah berkata, operasi syarikat tersebut di Malaysia merupakan pencapaian penting dalam pengembangan Digital Realty di Asia Tenggara.
Katanya, Malaysia memainkan peranan penting sebagai hab kesalinghubungan dalam rangkaian serantau kami kerana ia membolehkan pelanggan melaksanakan dan mengurus beban kerja mereka dengan lancar merentasi pasaran.
“Dengan mengintegrasikan kemudahan Cyberjaya ke dalam PlatformDIGITAL®, kami akan memperluas lagi komuniti data terhubung yang merangkumi hab utama seperti Singapura dan Jakarta.
“Kepantasan kami mewujudkan kehadiran berbilang lokasi mencerminkan permintaan pelanggan yang kukuh serta komitmen jangka panjang kami dalam menyokong pertumbuhan digital Malaysia,” katanya.



