Kuala Lumpur: Sering kali dilabel sebagai ‘generasi ketuhar’ yang hanya tahu membeli makanan di luar atau sekadar memanaskan hidangan segera, kini masanya untuk anak muda Malaysia bangkit dan mematahkan stereotaip itu.
Seismik Makan, di bawah REV Media Group, secara rasminya melancarkan kempen pencarian bakat kulinari buat anak muda menerusi “Siapa Masak Tu? Juara Masak Gen Z”.
Bukan sekadar pertandingan biasa, ia merupakan medan tempur kreatif untuk membuktikan anak muda hari ini juga hebat di dapur, di samping merebut hadiah utama wang tunai RM5,000.
Ketua Video Rangkaian Inggeris REV Media Group, Muhamad Helmi Yahya berkata, kempen ini diwujudkan sebagai platform khas untuk golongan muda berkongsi minat mereka dalam dunia masakan, sekali gus mengubah persepsi skeptikal masyarakat terhadap kemampuan Generasi Z.
“Melalui kempen ini, Seismik Makan berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai Gen Z untuk meneroka minat mereka dalam bidang kulinari serta membina komuniti pencinta makanan yang lebih aktif di media sosial,” katanya.
Warganegara Malaysia yang berusia antara 18 hingga 29 tahun dengan bakat memasak luar biasa dipelawa untuk menyertai kempen ini.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 23 Jun 2026. Hanya ikuti langkah mudah di bawah untuk penyertaan:
- Hasilkan video masakan kreatif berdurasi maksimum 90 saat dan muat naik di platform TikTok atau Instagram.
- Lengkapkan kenyataan berikut di ruangan kapsyen: “Gen Z tidak sewajarnya dilabel sebagai generasi microwave kerana…..”
- Menandakan (tag) akaun Instagram atauTikTok @SeismikMakan
- Menggunakan hashtag rasmi #SiapaMasakTu
Para peserta digalakkan untuk menonjolkan kemahiran kulinari serta personaliti dan kreativiti unik masing-masing.
Untuk maklumat lanjut, layari platform media sosial Facebook, Instagram atau TikTok Seismik Makan.

© New Straits Times Press (M) Bhd




