Lebih banyak mungkin dikenakan terhadap peneroka Yahudi – Perancis

Lebih banyak mungkin dikenakan terhadap peneroka Yahudi – Perancis

Paris: Peneroka Israel boleh berdepan sekatan tambahan dalam tempoh beberapa hari akan datang sebagai bantahan terhadap peningkatan penempatan haram di Tebing Barat dan lonjakan keganasan oleh golongan itu terhadap warga Palestin, kata Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot pada Ahad.

Sebelum ini, Kesatuan Eropah (EU) sudah mengenakan sekatan ke atas peneroka Israel dan organisasi yang menyokong mereka pada akhir Mei.

Dalam temu bual bersama televisyen Public Senat dan radio RTL, Barrot bagaimanapun tidak menyatakan negara Eropah yang dimaksudnya bakal melaksanakan langkah tambahan berkenaan.

Namun, merujuk kepada sekatan EU sebelum ini, beliau berkata, Perancis mungkin akan melangkah lebih jauh dengan kemungkinan sekatan tambahan dikenakan dalam masa terdekat.

Kenyataan itu dibuat susulan peningkatan keganasan oleh peneroka Israel di Tebing Barat yang diduduki, sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan beberapa negara Barat terhadap kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang didakwa memperluas penempatan itu.

Diplomat menyatakan peluasan penempatan itu dilihat bertujuan melemahkan usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Reuters pada Sabtu lalu dengan memetik sumber diplomat Eropah melaporkan bahawa Perancis sedang bekerjasama dengan beberapa negara lain untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel melalui sekatan nasional yang diselaraskan bagi menyasarkan individu yang dikaitkan dengan keganasan di Tebing Barat.

“Saya amat bimbang tentang peningkatan aktiviti penempatan haram di Tebing Barat dan lonjakan keganasan oleh peneroka Israel terhadap warga Palestin.

“Sebab itu saya mendesak supaya sekatan dikenakan bukan saja kepada mereka yang bertanggungjawab atas keganasan ini tetapi juga terhadap entiti, syarikat dan organisasi di Israel yang menyediakan kemudahan kepada peneroka ekstremis ini untuk menghalau rakyat Palestin dari tanah mereka, membakar tanaman dan memusnahkan bangunan awam,” katanya.

Katanya, langkah sebelum ini adalah satu cara untuk meminta kerajaan Israel memikul tanggungjawab terhadap keganasan yang pada pandangannya turut menjejaskan kewibawaan negara itu dalam beberapa aspek.

Pada 22 Mei lalu, tujuh negara Barat utama menyeru Israel supaya menghentikan peluasan penempatan di Tebing Barat serta membendung peningkatan keganasan oleh peneroka.

“Sejak beberapa bulan lalu, keadaan di Tebing Barat merosot dengan ketara,” menurut kenyataan Bersama Britain, Itali, Perancis, Jerman, Kanada, Australia dan New Zealand.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top