Subsidi bersasar bantu imbangi keperluan awam dan pengurusan fiskal berhemat – Hassan Marican

Subsidi bersasar bantu imbangi keperluan awam dan pengurusan fiskal berhemat – Hassan Marican

Kuala Lumpur: Dasar subsidi Kerajaan kini semakin menumpu kepada memastikan dana awam sampai kepada mereka yang paling memerlukan, beralih daripada bantuan secara meluas kepada sokongan lebih bersasar yang dapat mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kemampanan fiskal.

Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) Tan Sri Mohd Hassan Marican berkata, cabarannya terletak pada usaha untuk mengimbangi antara bantuan segera kepada isi rumah dengan keperluan memelihara sumber negara bagi masa depan.

PPPK, yang beroperasi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), bertanggungjawab menyelaras tindakan dan usaha Kerajaan bagi menangani krisis tenaga global yang tercetus akibat konflik di Asia Barat.

“Pelaksanaan strategik rangka kerja subsidi yang dirasionalisasikan memainkan peranan penting dalam menstabilkan ekonomi domestik terhadap kejutan luaran yang teruk.

“Sekiranya Kerajaan tidak melaksanakan secara proaktif pembaharuan subsidi bahan api sejak dua tahun lepas, Malaysia akan mendapati dirinya berada dalam kedudukan yang jauh lebih genting pada hari ini,” kata Mohd Hassan dalam satu temu bual bersama BERNAMA baru-baru ini.

Beliau berkata, keadaan global yang sentiasa berubah-ubah memerlukan semakan secara berterusan terhadap mekanisme subsidi, kuota dan sistem pengagihan bagi memastikan ia kekal berkesan dan selaras dengan realiti semasa.

“Pergolakan geopolitik di Asia Barat telah mengubah sepenuhnya realiti (kehidupan) kita. Jumlah kos subsidi bahan api kita telah melonjak daripada RM700 juta sebulan pada Januari kepada RM5.0 bilion sebulan, yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam masa yang singkat.

“Jumlah kos subsidi sebesar ini tidak mampan dan memberi tekanan besar terhadap belanjawan negara kita,” katanya.

Pada masa sama, katanya, syarikat minyak dan gas nasional PETRONAS terus memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan bahan api domestik dengan membantu menampung kekurangan bekalan syarikat minyak (OOC) lain yang beroperasi di Malaysia, meskipun kos pemerolehan dan operasi yang jauh lebih tinggi.

Pada masa ini, PETRONAS menyerap komitmen tambahan ini yang boleh mencecah ratusan juta ringgit, di samping beban subsidi sedia ada yang ditanggung oleh Kerajaan, katanya.

Selain memastikan bekalan bahan api yang mencukupi, Mohd Hassan berkata, Kerajaan juga sedang memperkukuh langkah-langkah untuk melindungi rantaian bekalan lebih meluas yang menyokong ekonomi dan mata pencarian harian.

“Kita sedang giat menyelaraskan logistik negara, mempertingkat penguatkuasaan antipenyeludupan dan menstabilkan saluran bekalan makanan,” katanya.

Pada masa depan, katanya, cabarannya bukan sahaja untuk mendapatkan bahan api tetapi juga bagi menangani sekatan rantaian bekalan, gangguan logistik dan persaingan antarabangsa yang semakin sengit bagi mendapatkan sumber.

“Apa yang sedang diusahakan oleh Kerajaan dan industri sekarang adalah untuk memperkukuh penampan dan memastikan sektor kritikal terus berfungsi dengan lancar dalam keadaan bekalan jangka panjang yang berubah-ubah.

“Kita juga perlu mengambil kira bahawa untuk mendapatkan bekalan dalam pasaran global yang sangat tidak menentu kini melibatkan kos tambahan yang jauh lebih tinggi,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, dengan mengandaikan harga minyak mentah kekal sekitar AS$100 setong, premium insurans berkaitan gangguan boleh menambahkan lagi antara AS$30 hingga AS$40 setong kepada kos.

Pada masa sama, kos penghantaran, insurans dan kos operasi lain yang lebih tinggi akan meningkatkan lagi beban kewangan untuk mengekalkan bekalan bahan api domestik yang stabil.

Mohd Hassan berkata realiti ini menunjukkan kepentingan untuk melakukan persediaan, mengurus sumber dengan berhemat dan pempelbagaian bekalan dalam memperkukuh daya tahan Malaysia terhadap kejutan pada masa depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top