Nafuzi bimbing skuad negara hadapi Piala Hyundai bulan depan

Nafuzi bimbing skuad negara hadapi Piala Hyundai bulan depan

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) dan B-19 negara, Nafuzi Zain sah diberi tanggungjawab mengemudi cabaran Malaysia pada kempen saingan AFF bagi merebut Piala Hyundai yang dijadual berlangsung bulan depan.

Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman yang menjelaskan kejohanan berkenaan akan dijadikan platform penting untuk pembangunan pemain muda negara menerusi pembentukan skuad gabungan.

Menurut beliau, pasukan yang bakal dibentuk berkemungkinan membabitkan gabungan pemain B-23 bersama beberapa tonggak senior bagi memastikan skuad negara memiliki keseimbangan dari segi pengalaman dan kualiti dalam menghadapi cabaran kejohanan serantau itu.

“Bagi Piala Hyundai (sebelum ini dikenali Piala AFF) bulan depan, pasukan itu akan dikendalikan Nafuzi Zain.

“Sama ada skuad B-23 sepenuhnya atau skuad gabungan, perkara itu akan dibincangkan bersama beliau selepas pulang daripada tugasan bersama skuad B-19 negara di Medan, Indonesia.

“Kita mahu mendapatkan pandangan dan perancangannya terlebih dahulu kerana selepas itu kita mempunyai beberapa aksi penting termasuk perlawanan persahabatan menentang Laos dan Filipina,” katanya.

Ketika ini, Nafuzi sedang menggalas tugas membimbing skuad B-19 negara yang beraksi dalam Kejohanan AFF B-19 di Medan, Indonesia dengan misi melahirkan lebih ramai pemain berpotensi untuk diserap ke peringkat lebih tinggi.

Langkah memberi tanggungjawab kepada Nafuzi dilihat selari dengan usaha FAM mempercepatkan proses transisi pemain muda ke skuad senior menerusi pendedahan dalam pertandingan kompetitif di peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, Noor Azman menjelaskan saingan Piala Asean FIFA yang pertama kali diadakan dan dijadual berlangsung pada September depan akan dikendalikan ketua jurulatih skuad senior kebangsaan, Peter Cklamovski.

Katanya, tiada perubahan membabitkan perancangan skuad senior apabila Cklamovski akan terus mengetuai Harimau Malaya dalam kempen berprestij itu, manakala Nafuzi pula diberikan ruang untuk membentuk kelompok pemain pelapis yang berpotensi menjadi tunjang pasukan kebangsaan pada masa hadapan.

Untuk rekod, Piala Asean FIFA ialah kejohanan bola sepak antarabangsa baharu yang diiktiraf dan dianjurkan secara rasmi oleh FIFA untuk pasukan kebangsaan lelaki di Asia Tenggara.

Kejohanan sulung ini menghimpunkan semua 11 negara anggota di rantau ini dan dijadualkan berlangsung dari September hingga Oktober.

Manakala saingan Piala AFF untuk merebut Piala Hyundai pula adalah kejohanan serantau yang sering dianjurkan setiap dua tahun sejak kali pertama pada 1996 (dulu dipanggil Piala Tiger).

Sepanjang kejohanan itu, Malaysia hanya sekali muncul juara pada 2010 dan naib juara sebanyak tiga kali iaitu masing-masing pada 1996, 2014 dan 2018.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top