BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand dengan kerjasama rakan kongsi antarabangsa, berjaya menumpaskan rangkaian cetak rompak dalam talian Thailand-Malaysia yang didakwa menstrim filem berhak cipta secara haram.
Pihak berkuasa menyerbu dua lokasi di wilayah Chiang Mai dan menahan seorang suspek yang dipercayai menguruskan akses pelanggan kepada perkhidmatan itu bagi pihak pengendali utama platform berkenaan di Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Harta Intelek (DIP) Thailand, Oramon Sapthaweetham berkata, operasi itu dijalankan di bawah program Hentikan Rompak Dalam Talian (I-SOP) INTERPOL dengan sokongan Polis Diraja Thailand, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Polis Negara Korea (KNPA) dan pemegang hak.
“Operasi itu membawa kepada pembongkaran rangkaian, yang mengedarkan filem berhak cipta tanpa kebenaran kepada pelanggan berbayar di Thailand dan Malaysia,” kata Oramon kepada pemberita pada Isnin.
Beliau berkata, serbuan dilakukan di premis syarikat di mukim Suthep dan kediaman di mukim Mae Hia di wilayah Chiang Mai.
“Barang yang dirampas termasuk dokumen perakaunan, rekod pembayaran yang dikaitkan dengan penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan, surat-menyurat e-mel, telefon bimbit dan komputer yang dipercayai digunakan dalam operasi itu,” katanya.
Tambahnya, suspek didakwa atas pelanggaran hak cipta bersama untuk tujuan komersial, termasuk pengeluaran semula, adaptasi dan pengedaran karya sinematografi tanpa kebenaran.
Oramon berkata, operasi itu mencerminkan usaha giat Thailand memerangi cetak rompak dalam talian dan melindungi industri filem, pemegang hak cipta dan ekonomi kreatif.
Beliau menambah jabatan itu akan memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan menjelang Piala Dunia FIFA bagi membendung penstriman langsung haram, perkongsian pautan tontonan tanpa kebenaran dan eksploitasi komersial terhadap rakaman perlawanan.
Di bawah undang-undang Thailand, pelanggaran hak cipta boleh dihukum denda antara 20,000 hingga 200,000 baht.
Kesalahan yang dilakukan untuk keuntungan komersial membawa hukuman penjara sehingga empat tahun, denda antara 100,000 baht hingga 800,000 baht, atau kedua-duanya.
Jabatan itu juga menggesa orang ramai supaya tidak menyokong laman web dan platform yang melanggar hak cipta, memberi amaran bahawa cetak rompak memudaratkan pencipta, industri kreatif, pekerjaan dan ekonomi. – Bernama



