bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur: BERSATU mendakwa PAS cuba mencampuri urusan dalaman parti itu berkait isu kerjasama politik di Perlis, Kelantan dan Kedah serta tindakan pemberhentian dan pengantungan keahlian pemimpin partinya sebelum ini.
Dalam surat BERSATU bertarikh 25 Mei, dikirimkan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan PAS, menjelaskan tindakan mencampuri urusan dalaman parti anggota berkaitan hal disiplin dan tindakan yang diambil sebagai tidak wajar.
“Apatah lagi ROS (Pendaftar Pertubuhan) sebagai badan pengawal semua pertubuhan sudah mengesahkan bahawa tindakan BERSATU terhadap wakil-wakil rakyatnya adalah berpelembagaan,” katanya menerusi penjelasan beliau dalam surat berkenaan.
Menyentuh isu pertukaran EXCO dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan Kelantan, Muhyiddin menjelaskan, BERSATU kesal kerana penyandang dua jawatan itu masih tidak ditukar, biarpun wakil rakyat berkenaan sudah dikenakan tindakan disiplin oleh parti.
“Kerajaan Kedah masih lagi bersekongkol dengan ADUN Suka Menanti dan ADUN Sungai Tiang yang sudah dipecat hak-hak keahlian dalam BERSATU.
“Biro Politik menuntut supaya Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) menghormati prinsip perkongsian kuasa dalam sebuah kerajaan dan mengambil tindakan segera untuk menggantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kedah dan Timbalan Speaker DUN Kedah.
“BERSATU akan menulis surat rasmi kepada Menteri Besar Kelantan untuk maksud sama iaitu menggantikan Timbalan Speaker DUN Kelantan yang sudah dipecat oleh Lembaga Disiplin dan hilang hak-hak keahlian dalam BERSATU,” katanya.
Dalam surat sama itu, Muhyiddin turut menafikan dakwaan partinya mahu kembali kepada Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“BERSATU amat kesal dengan fitnah dan rekayasa jahat yang berlegar di kalangan pemimpin PAS bahawa BERSATU akan kembali bersama PH selepas PRU. Malangnya, BERSATU tidak pernah dipertanyakan langsung mengenai perihal ini dalam pertemuan antara PAS dan BERSATU.
“Amat mendukacitakan apabila fitnah ini disambut oleh PAS dan dijadikan alasan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan BERSATU.
“PAS dilihat lebih mesra dengan kumpulan yang berterusan membawa fitnah dan cuba memecahbelahkan perpaduan antara BERSATU dan PAS,” katanya.
Berkait penyertaan parti politik Melayu ke dalam PN, Muhyiddin menjelaskan BERSATU tidak pernah menolak penyatuan ummah, sebaliknya berpandangan kerjasama pilihan raya perlu dilaksana terlebih dulu.
“Pendirian BERSATU ialah PN boleh mengadakan kerjasama pilihan raya terlebih dulu dengan parti-parti ini dan kemasukan mereka sebagai parti anggota PN boleh dipertimbangkan kemudian.
“Cadangan ini sudah dipersetujui secara konsesus oleh Majlis Tertinggi (MT) PN sebelum ini. Pendirian ini dikekalkan dalam mesyuarat MT PN pada 16 Mei dan sebuah jawatankuasa diwujudkan untuk memperhalusi terma-terma kerjasama pilihan raya termasuk pembahagian kerusi.
“Setiausaha Agung PN seharusnya segera mengadakan perbincangan dalam jawatankuasa ini bagi memberi ruang untuk parti baru bekerjasama dengan PN,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




