Fatin Afeefa kenang Baba sebagai ayah paling baik

Fatin Afeefa kenang Baba sebagai ayah paling baik

Kuala Lumpur: Pelakon Fatin Afeefa meluahkan kerinduan terhadap arbapanya yang dikenali sebagai Allahyarham Shamsuddin, sambil mengenang sosok insan yang disifatkan sebagai lelaki paling baik pernah hadir dalam hidup.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Fatin menzahirkan rasa syukur dikurniakan ayah yang lembut, penyabar dan penuh kasih sayang sepanjang membesarkannya.

“Semakin saya meningkat dewasa, semakin saya sedar betapa bertuahnya diri saya. Bukan kerana apa yang Baba berikan kepada saya, tetapi kerana siapa dirinya.

“Seorang yang lembut, penyabar dan baik hati. Seorang ayah yang tidak pernah meninggikan tangan. Baba hanya akan mengusap kepala saya sambil tersenyum dan berkata, tidak apa.

“Saya dibesarkan dengan kasih sayang daripada seorang lelaki yang sangat baik… Terlalu baik. Saya akan terus mensyukurinya sepanjang hidup ini kerana Allah memilih Baba untuk menjadi ayah saya,” tulisnya.

Dalam perkongsian sama, Fatin turut menitipkan doa agar Allah SWT mengampunkan kekurangan arwah bapanya serta menempatkannya dalam kalangan hamba yang beriman.

“Ya Allah, aku memohon dengan segala rahmat-Mu, ampunilah segala kekurangannya, maafkan segala kesilapannya dan ganjarilah setiap kebaikan yang pernah dia berikan kepada insan di sekelilingnya.

“Lapangkan dan terangilah kuburnya dengan cahaya, ketenangan serta kasih sayang-Mu. Tempatkanlah dia dalam kalangan hamba-hamba yang Engkau cintai.

“Baba menghabiskan hidupnya dengan berbuat baik kepada kami. Maka, ya Allah, berlembutlah juga kepada dirinya,” katanya.

Sabtu lalu, Fatin berkongsi berita duka apabila bapanya meninggal dunia pada jam 3.48 pagi. Menurut Fatin, dia bersama adik perempuannya berada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir.

Sebelum ini, Fatin pernah berkongsi keadaan bapanya yang menerima rawatan di hospital menerusi Instagram Story (IGs). Bagaimanapun, pelakon itu tidak mendedahkan punca kematian arwah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top