Copenhagen: Doktor pasukan Denmark menyatakan Christian Eriksen berada dalam semangat yang baik walaupun dimasukkan ke hospital selepas rebah ketika aksi persahabatan menentang Ukraine, lima tahun selepas mengalami serangan jantung ketika Kejohanan Eropah (Euro) 2020.
Bekas pemain tengah Manchester United berusia 34 tahun itu, yang memakai sejenis alat perentak jantung selepas rebah pada 2021, tumbang di atas padang pada minit ke-64 perlawanan di Odense, awal pagi tadi.
Pasukan perubatan segera bergegas ke padang manakala pemain kedua-dua pasukan mengelilinginya bagi melindungi insiden itu daripada dirakam kamera televisyen atau telefon pintar.
Pengadil kemudian menghentikan perlawanan dan Eriksen dibawa ke hospital selepas diiringi keluar padang dengan dilindungi oleh pemain kedua-dua pasukan.
Doktor pasukan Denmark, Morten Boesen berkata, Eriksen tidak sedarkan diri seketika, tetapi alat perentak jantungnya berfungsi seperti yang sepatutnya.
Boesen turut memberikan perkembangan positif pada awal pagi Isnin.
“Saya bercakap dengan Christian pagi ini dan dia berada dalam keadaan baik,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram.
“Dia bersama keluarganya dan berada dalam keadaan bersemangat.
“Jangkaannya ialah dia akan dibenarkan keluar dari hospital tidak lama lagi dan boleh pulang ke rumah.”
Boesen berkata, beliau dan pasukan perubatannya sentiasa berhubung dengan pemain skuad kebangsaan Denmark secara berkala.
“Kami menjaga kebajikan pemain dan kakitangan dengan baik serta sentiasa berhubung dengan mereka.”
Eriksen memakai alat perentak jantung itu sejak rebah ketika perlawanan peringkat kumpulan menentang Finland pada Euro 2020 yang berlangsung pada 2021.
Insiden itu menyebabkan beliau terpaksa berehat lebih enam bulan daripada bola sepak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




