am@hmetro.com.my
Tawau: Seorang nenek bertindak nekad meredah asap tebal dan bahang api untuk menyelamatkan dua cucunya yang masih kecil selepas kebakaran memusnahkan empat rumah di Kampung High Chapperel, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.34 petang itu, Zaleha Abdullah, 54, berjaya membawa keluar Sofiah Kadir, 5, dan Aisyah Kadir yang baru berusia 12 bulan sebelum api marak memusnahkan kediaman mereka dan rumah berhampiran.
Zaleha berkata, dia menyedari kejadian itu ketika berada di ruang dapur apabila terdengar bunyi letupan kuat dari salah sebuah rumah jiran sebelum melihat api menjulang tinggi disertai kepulan asap tebal.
“Saya terus berlari masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan cucu-cucu saya. Ketika itu api sudah merebak dan semakin marak membuatkan saya cemas.
“Akibat panik saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa harta benda melainkan beberapa dokumen penting kerana api merebak terlalu pantas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Kebakaran itu memusnahkan sepenuhnya empat rumah, manakala sebuah lagi rumah mengalami kerosakan kira-kira 60 peratus.
Seorang lagi mangsa, Jarah Jaafar, 65, berkata, dia hanya mampu melihat rumahnya dijilat api apabila kebakaran merebak dengan begitu pantas sehingga tiada peluang untuk menyelamatkan sebarang harta benda.
Menurutnya, dalam tempoh kurang 20 minit, rumah yang didiaminya hangus terbakar.
Lebih memilukan, katanya, lapan kucing peliharaannya turut gagal diselamatkan dalam kejadian itu.
“Saya hanya mampu menangis melihat rumah terbakar. Semua barang habis musnah, malah lapan ekor kucing yang saya bela juga tidak sempat diselamatkan,” katanya sebak.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.34 petang sebelum dua jentera bersama sebuah lori tangki air digerakkan ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba tiba enam minit kemudian memandangkan lokasi kebakaran hanya kira-kira tiga kilometer dari balai.
Menurutnya, kebakaran membabitkan lima rumah dengan empat daripadanya musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 60 peratus.
“Api merebak dengan pantas berikutan kedudukan rumah yang rapat selain kebanyakannya diperbuat daripada papan dan dipengaruhi faktor angin kencang ketika kejadian.
“Operasi pemadaman menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran serta lori tangki air,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.20 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan sementara punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




