khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Wartawan Harian Metro, Mohd Alhafiz Ithnin memenangi tempat pertama bagi kategori media cetak dan portal berita, Anugerah Media Agrobank 2026.
Menerusi karya ‘Kerah Kudrat Ubah Nasib’, Mohd Alhafiz membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 berserta plak.
Selain itu, wartawan New Straits Times (NST), Ahmad Mukhsein Mukhtar menerusi karya ‘Dari Import ke Inovasi: Memperkasa Bekalan Anak Pokok Tempatan’ memenangi tempat kedua bagi kategori sama.
Ahmad Mukhsein membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 berserta plak.
Penyampaian anugerah itu disampaikan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Dr Ainol Amriz Ismail.
Mohd Alhafiz berkata, beliau bersyukur menerima anugerah itu menerusi siri laporan yang mengangkat isu keterjaminan makanan negara melalui penglibatan generasi muda dalam sektor agromakanan.
Menurutnya, laporan itu dibangunkan dengan pendekatan yang menyentuh pelbagai perspektif iaitu daripada petani muda dan usahawan agromakanan sehinggalah kepada pakar industri serta pembuat dasar.
“Bagi memastikan laporan ini bersifat menyeluruh, saya menemu bual lapan sumber daripada pelbagai latar belakang dan turut mengaplikasikan elemen kewartawanan data untuk memperkukuh dapatan yang dibentangkan.
“Pendekatan ini membolehkan isu yang diketengahkan dijelaskan dengan lebih jelas, berfakta dan berasaskan bukti, sekali gus memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai cabaran serta usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya.
Beliau turut berharap, laporan dihasilkannya dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keterjaminan makanan yang bukan sahaja sekadar soal bekalan makanan mencukupi, tetapi mengenai keupayaan negara melahirkan generasi pelapis yang mampu meneruskan sektor agromakanan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Ainol Amriz berkata, kualiti penyertaan daripada peserta tahun ini sangat memberangsangkan.
Katanya, banyak karya dipertandingkan menampilkan pelaporan mendalam, penceritaan menarik, penggunaan unsur kreatif dan pendekatan yang lebih segar dalam menyampaikan isu-isu kepada khalayak.
Ainol Amriz berkata, sambutan yang diterima terhadap Anugerah Media Agrobank 2026 pada tahun ini juga amat membanggakan.
Katanya, sebanyak 138 penyertaan diterima berbanding 106 pada tahun lalu, sekali gus mencatat peningkatan hampir 30 peratus.
“Peningkatan ini bukan sekadar menunjukkan pertumbuhan jumlah penyertaan, tetapi turut mencerminkan keyakinan pengamal media terhadap kredibiliti dan prestij terhadap Anugerah Media Agrobank.
“Apa yang lebih membanggakan, penyertaan diterima daripada pelbagai platform termasuk media cetak, portal berita, radio, televisyen, dokumentari, video dalam talian, kewartawanan digital, video pendek pelajar.
“Ini membuktikan bahawa kewartawanan hari ini berkembang merentas pelbagai platform dan media,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




