Norway bidas tindakan Scotland batal aksi persahabatan

Norway bidas tindakan Scotland batal aksi persahabatan

Oslo: Pengurus Norway, Stale Solbakken mengkritik rakan sejawatannya dari Scotland, Steve Clarke dengan melabel tindakan Scotland membatalkan perlawanan latihan tertutup yang telah dirancang dengan alasan kecederaan sebagai tidak profesional.

Perlawanan yang dijadual berlangsung di kem latihan Scotland di Charlotte, North Carolina kelmarin diatur beberapa bulan lebih awal bagi memberi peluang kepada pemain-pemain simpanan mendapatkan minit permainan menjelang Piala Dunia.

Namun, kem Norway hanya dimaklumkan mengenai pembatalan itu lewat malam Jumaat selepas mereka menamatkan sesi latihan terakhir, memaksa Solbakken mengubah perancangan taktikalnya menjelang aksi persahabatan menentang Maghribi yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di New Jersey, semalam.

“Ia sangat mengejutkan saya, dan ia satu tindakan yang tidak profesional daripada Scotland,” kata Solbakken kepada penyiar Norway, NRK.

“Ia tidak profesional apabila pengurus mereka sendiri tidak menghubungi saya secara peribadi. Sebaliknya, mereka menggunakan pengurus pasukan untuk memaklumkan perkara itu selepas kami selesai menjalani latihan.

“Saya tidak percaya kecederaan yang mereka jadikan alasan itu berlaku semasa sesi latihan terakhir mereka,” tambahnya.

Ketua jurulatih Scotland, Clarke, bagaimanapun memperkecilkan isu tersebut dengan memberitahu BBC bahawa perlawanan itu hanyalah sesi latihan selama satu jam yang dirancang di padang latihan.

Beliau menjelaskan skuadnya mengalami beberapa kecederaan ringan sepanjang minggu lalu dan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan tersebut, hanya sedikit lebih sehari selepas Scotland mencatat kemenangan 4-0 ke atas Bolivia dalam aksi persahabatan.

“Kami mengalami satu atau dua kecederaan kecil minggu lalu dan merasakan ia tidak berbaloi untuk mengambil risiko,” katanya.

Pembatalan secara mengejut itu turut menerima kecaman daripada beberapa pegawai kanan dan pemain Norway, termasuk penyerang Alexander Sorloth, yang menyifatkan keputusan tersebut sebagai amat mengecewakan dan agak tidak profesional.

Pemain tengah Scotland, John McGinn turut membalas kritikan Norway semalam.

“Tugas kami adalah menjaga kepentingan Scotland, dan tugas Norway pula adalah menjaga Norway,” kata pemain Aston Villa FC itu.

Persiapan Scotland ke Piala Dunia sebelum ini menerima tamparan hebat apabila pemain tengah utama, Billy Gilmour, mengalami kecederaan lutut yang menamatkan penyertaannya dalam kejohanan ketika menentang Curacao.

“Jika mereka membuat kajian, mereka pasti tahu kami kehilangan salah seorang pemain paling penting dalam skuad ini sejurus sebelum kem latihan bermula.

“Ia memberi kesan besar kepada semua orang dan kami tidak mahu kehilangan seorang lagi pemain,” kata McGinn.

“Jika Norway kehilangan Erling Haaland atau Martin Odegaard dalam salah satu perlawanan menjelang Sabtu nanti, mereka juga pasti akan membatalkan perlawanan itu.”

Norway akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Iraq pada 16 Jun, manakala Scotland membuka saingan dengan menentang Haiti pada 14 Jun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top