Skuad AS tekad cipta impak di tempat sendiri

Skuad AS tekad cipta impak di tempat sendiri

Irvine, California: Kapten Amerika Syarikat, Tim Ream menggesa rakan sepasukannya untuk berani menyerap tekanan beraksi di laman sendiri bagi kempen Piala Dunia menjelang perlawanan pembukaan menentang Paraguay, Jumaat ini.

Dia menyifatkan saingan berprestij itu sebagai peluang keemasan yang hanya hadir sekali seumur hidup buat keseluruhan barisan pemain skuad kebangsaan.

Bercakap di pusat latihan pasukan di Irvine, pertahanan itu mengakui skuad tuan rumah amat menyedari harapan menggunung yang diletakkan di bahu mereka.

Bagaimanapun, dia menegaskan barisan pemain sebenarnya meletakkan penanda aras dan tuntutan yang jauh lebih tinggi ke atas diri mereka sendiri.

Perkara itu disuarakan Ream pada sidang media sebelum sesi latihan terbuka semalam yang dihadiri lebih 5,000 peminat di Selatan California.

“Ini peluang sekali seumur hidup yang pastinya hadir dengan harapan serta tekanan lebih tinggi, tetapi pada masa sama kita perlu menikmatinya kerana tiada siapa yang meletakkan jangkaan lebih besar selain diri kita sendiri,” katanya.

Amerika Syarikat yang memegang status tuan rumah bersama bagi edisi 2026 dengan Kanada dan Mexico bakal membuka kempen saingan di hadapan penyokong sendiri.

Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri itu diakui beberapa pemain sebagai detik penuh emosi serta mampu menyuntik motivasi luar biasa.

Sebagai tonggak paling berpengalaman, Ream sentiasa meniup kata-kata semangat kepada rakan sepasukan yang lebih muda agar menghayati momen penting itu dan tidak terus dibayangi tekanan.

“Buka mata dan hayatilah setiap detik kerana pengalaman ini sangat unik serta berbeza berbanding apa yang pernah kita lalui sebelum ini.

“Nikmati setiap detik istimewa ini sebaik mungkin memandangkan memori sebegini tidak mungkin akan berulang lagi sampai bila-bila,” katanya.

Sementara itu, penyerang Folarin Balogun berkata, peluang mewakili skuad kebangsaan pada pentas Piala Dunia di laman sendiri membawa makna yang cukup istimewa selepas mengharungi perjalanan karier antarabangsanya.

Dalam pada itu, penjaga gol, Matt Freese yang mengimbau kembali liku-liku perjalanannya menyertai skuad kebangsaan menyifatkan momen tersebut adalah hasil titik peluh bertahun-tahun tanpa sebarang jaminan.

“Bertahun-tahun kita memasang impian dan berkorban untuk detik ini, biarpun tiada siapa yang berani menjanjikan bulan dan bintang sama ada ia akan jadi kenyataan atau tidak.

“Namun seperti kata bidalan, tekanan jugalah yang mampu menghasilkan permata, jadi inilah masanya untuk kumpulan 26 pemain ini membuktikan kami adalah deretan permata bernilai tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top