AS mahu beli kepulauan meliputi Diego Garcia?

AS mahu beli kepulauan meliputi Diego Garcia?

London: Rumah Putih sedang mempertimbangkan pelan untuk membeli Kepulauan Chagos daripada Mauritius, lapor akhbar Telegraph pada Ahad.

Kepulauan Chagos turut menempatkan Diego Garcia iaitu pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Lautan Hindi.

Pegawai AS dilaporkan merangka cadangan untuk memintas United Kingdom (UK) dengan memeterai perjanjian sendiri bagi mengambil alih kawalan ke atas Diego Garcia, menurut akhbar berkenaan.

Pelan itu adalah antara beberapa pilihan yang dirangka oleh Rumah Putih menerusi kertas kerja yang bertujuan menyediakan alternatif kepada Perdana Menteri Britain, Keir Starmer daripada menyerahkan kedaulatan kepulauan di Lautan India itu kepada Mauritius.

“Presiden Donald Trump konsisten dengan pendiriannya bahawa UK tidak sepatutnya menyerahkan Wilayah Lautan India British yang merangkumi kemudahan tentera bersama AS-UK di Diego Garcia,” kata seorang pegawai AS kepada Reuters.

“Kedudukan strategik Diego Garcia di Lautan India menjadikannya sebuah penempatan tentera yang amat penting dan diperlukan bagi keselamatan negara AS,” katanya sambil menambah bahawa AS sentiasa mengadakan perbincangan berkala dengan Britain untuk mengekalkan keupayaan pulau itu sebagai platform keselamatan serantau.

UK pada April lalu menangguhkan perjanjian untuk menyerahkan kedaulatan Kepulauan Chagos yang menjadi lokasi pangkalan udara Bersama AS-British di Diego Garcia, selepas menerima kritikan daripada Trump.

Trump pada Februari lalu berkata, perjanjian itu adalah satu “kesilapan besar.”

Jurucakap kerajaan UK berkata, kerajaan mewarisi situasi di mana kawalan UK ke atas pangkalan tentera di Diego Garcia berada dalam ancaman, dan tindakan diperlukan “bagi melindungi kepentingan nasional UK serta menghalang musuh daripada bertapak di lokasi yang mempunyai kepentingan strategik sedemikia”.

“Diego Garcia ialah aset ketenteraan strategik yang penting bagi UK dan AS yang melindungi keselamatan bersama selama hampir 60 tahun,” katanya.

Katanya, mengekalkan kawalan operasi jangka panjang dan keselamatan Diego Garcia adalah asas utama kepada perjanjian UK-Mauritius, sebuah perjanjian yang lahir daripada risiko jangka panjang sebenar terhadap pangkalan itu seperti yang sudah lama diketahui oleh UK dan AS.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top