
Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Pendidik Peringkat Kemas pada Selasa. Foto Bernama
PUTRAJAYA – Keputusan Pas untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu merupakan suatu perkara yang telah dijangka, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perkembangan itu memberi ibrah atau pengajaran bahawa sebarang kolaborasi mesti tidak hanya bersandarkan kepada sudut pandang politik semata-mata, tetapi harus dilihat dari segi pembangunan dan kesatuan sebuah negara bangsa.
“Kami (UMNO) telah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Kita bukan mendahului hukum ALLAH, tetapi ini merupakan satu telahan dari sudut pandang politik, yang sebarang kolaborasi mesti dilingkungi dengan penuh keikhlasan dan tidak ada unsur pengkhianatan di dalamnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pas putus hubungan politik dengan Bersatu serta-merta
Pas perjelas punca putus hubungan dengan Bersatu
Tun Faisal namakan siapa dikatakan kem ulama tidak bersetuju – Ahmad Fadhli
“Ia (kolaborasi) mesti dibuat untuk jangka masa panjang agar matlamat negara dapat dicapai, penyatuan anak bangsa dapat dilakukan dan saya harap jika ada pun langkah yang akan dilakukan selepas ini, ia mesti bukan hanya tandatangan di atas kertas, baiah yang dilakukan, tetapi yang penting ialah keikhlasan yang harus diterjemahkan untuk jangka panjang dan berkekalan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini pada Selasa.
AKAN MENYUSUL



