22 projek sakit di Sabah perlu dipantau, tambah baik

22 projek sakit di Sabah perlu dipantau, tambah baik

Tawau: Sebanyak 22 projek membabitkan peruntukan kerajaan Persekutuan di Sabah yang dikategorikan sebagai “projek sakit” perlu dipantau dan ditambah baik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

Mustapha berkata, antara faktor ia dikategorikan projek sakit adalah disebabkan isu seperti tanah serta prestasi kontraktor.

“Kalau isu tanah penyebabnya kita kena cari kaedah bagaimana untuk mempercepatkan, satu jawatan khas yang membabitkan isu-isu tanah ini perlu ditubuhkan, mungkin boleh dimulakan di Tawau, seperti projek menaik taraf Depot Tahanan Imigresen (DTI) Pakej 1,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan berkaitan daerah Tawau di sini hari ini.

Mustapha berkata jika projek sakit berpunca daripada kontraktor yang tidak kompeten, maka perlu ada kaedah menangani termasuk menggantikan kontraktor berkenaan.

“Kita kena serius, kita tidak mahu disebabkan kontraktor Sabah dilabelkan sebagai negeri paling banyak projek sakit, jadi kita mahu kontraktor yang kompeten. Bagi agensi terbabit, sudah tiba masanya kena kritikal tentang isu kontraktor ini, jangan biar mereka (kontraktor) tidak dipantau,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapha berkata sebanyak 83 projek pembangunan direkodkan di Tawau dengan 44 projek dalam prapelaksanaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top