Kuala Lumpur: “Biarkan Jaslinda berehat dulu, beri masa untuknya bersama keluarga selepas melalui detik mencabar 14 hari sesat dalam hutan. Selepas itu, baru kami adakan perjumpaan dengannya,” kata rakan pendaki, Mohd Hanafi Neikmad.
Jaslinda, 49, yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak 24 Mei lalu ketika mendaki Gunung Batu Putih dibenarkan pulang ke rumahnya di Damansara, di sini, tengah hari tadi selepas dirawat selama tiga hari di Hospital Tapah, Perak.
Mohd Hanafi, 41, bersama Jaslinda dan 12 lagi rakan mereka berserta dua malim gunung perhutanan (MGP) sebelum itu memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh, sebelum wanita itu dilaporkan hilang keesokan harinya.
Mohd Hanafi berkata, berita Jaslinda ditemukan selamat di penempatan Orang Asli Kampung Lubuk Gaharu, Tapah, pada petang Sabtu lalu amat melegakan mereka.
Ini kerana, katanya, sepanjang kehilangan wanita itu, mereka menunggu penuh debaran hasil operasi mencari dan menyelamat (SAR) harian yang dilancarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
“Kami ada kumpulan WhatsApp dan setiap hari berkongsi perkembangan SAR Jaslinda, malah MGP Hafiz yang berada bersama saya dan Jaslinda ketika pendakian sebelum dia hilang, turut terbabit dalam operasi mencarinya.
“Ada waktu tertentu, kami mengadakan bacaan surah Yassin bersama-sama secara dalam talian bagi mendoakan keselamatan Jaslinda dan berita dia selamat ditemui selepas hilang 14 hari sangat melegakan kami semua.
“Apa pun kejadian kehilangan Jaslinda yang menggemparkan negara ini tidak melemahkan kami untuk terus melakukan aktiviti pendakian selepas ini, tetapi kita mengambil iktibar dengan mengutamakan langkah keselamatan.
“Kami sudah berbincang untuk bertemu dengan Jaslinda selepas ini,” katanya kepada BH, hari ini.
Mohd Hanafi yang mengalami sesak nafas dan muntah berdarah ketika mendaki Gunung Batu Putih diselamatkan dan dibawa turun sebelum dihantar ke Hospital Tapah bagi menjalani rawatan lanjut.
Bagaimanapun, beliau yang disahkan mengalami masalah jantung, kini kembali sihat dan dibenarkan pulang ke rumah.
Mengulas ekspedisi disertai kumpulan mereka itu, Mohd Hanafi berkata, setiap pendaki membayar RM260 termasuk bagi kos permit dan insurans bagi melakukan pendakian yang sepatutnya selesai dalam tempoh sehari.
“Saya hanya mengenali Jaslinda dalam ekspedisi ini dan dia memang pendaki berpengalaman.
“Ketika MGP mahu membantu membawa beg sandangnya yang agak berat, beliau menolaknya kerana mahu membawa sendiri.
“Malah keupayaannya bertahan sepanjang hilang 14 hari dalam hutan tebal amat mengagumkan kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




