Pearly-Thinaah turun ke ranking keempat dunia

Pearly-Thinaah turun ke ranking keempat dunia

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, turun dua anak tangga ke kedudukan keempat dunia dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kemerosotan itu berlaku selepas pasangan negara berkenaan kurang beraksi serta gagal mencatat keputusan memberangsangkan susulan kecederaan belakang yang dialami Pearly ketika Kejohanan Badminton Asia sebelum ini.

Kecederaan itu menyebabkan Pearly terpaksa berehat hampir dua bulan dan terlepas aksi penting termasuk Piala Uber serta Masters Malaysia.

Selepas kembali beraksi, prestasi Pearly-Thinaah masih belum cukup konsisten untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam kelompok dua terbaik dunia.

Pada Terbuka Singapura baru-baru ini, pasangan negara sekadar mara ke pusingan kedua berbanding pencapaian suku akhir yang dicatatkan pada edisi tahun lalu.

Mereka kemudian melangkah ke suku akhir Terbuka Indonesia, namun keputusan itu masih tidak menyamai pencapaian muncul naib juara pada kejohanan sama tahun lalu.

Dalam acara beregu lelaki, gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mengalami penurunan apabila jatuh dari ranking keenam ke tangga kelapan dunia.

Kedudukan mereka dipintas juara Terbuka Indonesia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang terus memperbaiki kedudukan hasil kejayaan merangkul gelaran berprestij itu.

Bagaimanapun, berita positif hadir menerusi pasangan beregu lelaki muda negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing yang melonjak ke ranking tertinggi dalam karier apabila kini berada di tangga ke-22 dunia.

Turut mencipta pencapaian terbaik ialah pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa yang naik ke ranking ke-28 dunia hasil rentetan persembahan cemerlang sepanjang siri kejohanan di Asia baru-baru ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top