Cucu Allahyarham Nik Aziz, Datuk Azhar berdamai

Cucu Allahyarham Nik Aziz, Datuk Azhar berdamai

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Cucu kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi dan Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad memilih jalan berdamai.

Ia selepas sebelum ini terdapat dakwaan daripada Nik Aliff Aiman yang mengatakan ditampar bekas senator berkenaan dalam sebuah program anjuran universiti di Pahang pada 20 Mei lalu.

Menerusi kenyataan yang dibuat secara bersama oleh Azhar dan Nik Alif Aiman, kedua-dua pihak menerima permohonan maaf berkenaan dengan hati yang terbuka atas semangat ukhuwah, perdamaian, saling menghormati dan demi kepentingan semua pihak.

“Merujuk kepada insiden yangberlaku baru-baru ini membabitkan kedua-dua pihak, kami dengan ini bersama-sama memohon maaf terhadap satu sama lain berkenaan salah faham yang berbangkit daripada insiden yang didakwa berlaku ketika program Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 20 Mei lalu.

“Kami sudah mengadakan perbincangan secara mesra dan mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perkara ini secara baik tanpa meneruskan sebarang pertikaian yang berpanjangan.

“Perbincangan ini turut dihadiri oleh beberapa individu yang lain termasuk YB Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

“Kami juga bersetuju untuk tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan, komen atau tindakan yang boleh memburukkan, mengaibkan atau menjejaskan nama baik mana-mana pihak berhubung insiden berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Azhar dan Nik Alif Aiman turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memudahkan penyelesaian secara baik ini.

Mereka turut berharap agar hubungan sesama masyarakat terus dipelihara dalam suasana saling menghormati serta berlandaskan nilai kesopanan dan keharmonian.

“Menerusi kenyataan ini, kami menganggap perkara ini sudah diselesaikan secara muktamad dan memohon agar semua pihak menghormati privasi serta keputusan yang sudah dicapai.

Media sebelum ini melaporkan, Nik Alif Aiman mendakwa ditampar seorang bekas senator ketika menghadiri program universiti di Janda Baik, Pahang, 20 Mei lalu.

Nik Alif Aiman mendakwa, insiden berlaku jam 6 petang selepas tamat sesi ceramah pada Program Pemerkasaan Bangsa 2.0.

Bagaimanapun, Azhar menafikan dakwaan berkenaan sebaliknya menjelaskan hanya menyentuh pipi anak saudara sahabatnya tanda kemesraan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top