nfazlina@nstp.com.my
Pasir Mas: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 600 batang kayu getah selain tiga lori bernilai lebih RM450,000 selepas gagal mengemukakan sebarang permit sah pemindahan kayu berkenaan.
Rampasan menerusi Op Taring Wawasan oleh Batalion 8 PGA di Kampung Tok Pelanduk jam 3.45 petang tadi turut menahan tiga pemandu lori berusia 38 hingga 65 tahun.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika rondaan dilakukan pihaknya mengesan tiga buah lori yang membawa muatan kayu dalam keadaan mencurigakan.
“Ketiga-tiga pemandu lori berkenaan gagal mengemukakan sebarang permit pemindahan yang sah dari Jabatan Perhutanan sebelum kesemua mereka ditahan dan muatan lori serta kenderaan dirampas.
“Nilai rampasan termasuk lori dianggarkan bernilai RM455,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan 1984,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati kesemua mereka mengambil kayu getah dari kebun di kawasan Lubok Stol, Rantau Panjang.
Katanya, pemilik kebun berkenaan dikatakan mempunyai lesen menjual kayu getah dan bekalan kayu terbabit untuk di hantar di kilang kayu di Pasir Mas.
“Bayaran yang diterima bagi setiap trip penghantaran kayu getah adalah RM120 untuk sebuah lori.
“Pemindahan kayu tanpa permit dari Jabatan Perhutanan adalah jelas menjadi satu kesalahan dan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi mengekang kegiatan itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




