Isu penempatan Rohingya di Sungai Tekali dibincang esok, MPKj pernah arah pengosongan bangunan pada 2020

Isu penempatan Rohingya di Sungai Tekali dibincang esok, MPKj pernah arah pengosongan bangunan pada 2020

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu penempatan haram yang didakwa dibina oleh etnik Rohingya di kawasan terpencil Sungai Tekali, Hulu Langat, akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas membabitkan pihak berkuasa berkaitan esok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berkata, perkara itu diputuskan selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Pegawai Daerah (DO) berhubung dakwaan yang tular di media sosial.

“Setelah berunding bersama Tuan Datuk DO (Pegawai Daerah) satu mesyuarat khas bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat akan diadakan tengah hari esok berkenaan penempatan haram yang tular,” tulisnya dalam hantaran, malam ini.

Untuk rekod, semakan mendapati isu penempatan etnik Rohingya di kawasan Sungai Makau, Hulu Langat pernah mendapat perhatian pihak berkuasa sebelum ini.

Berdasarkan laporan pemantauan kerja tanah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada Disember 2020, satu lawatan tapak penguatkuasaan teknikal dijalankan membabitkan beberapa agensi termasuk MPKj, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDTHL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Laporan itu menyatakan penempatan berkenaan dibina di kawasan rizab sungai tanpa kelulusan MPKj manakala pemilik lot atau pengusaha rumah sewa terbabit diarahkan mengosongkan bangunan dalam tempoh 30 hari.

Laporan sama turut menyebut struktur bangunan berkenaan dibina tanpa kelulusan Jabatan Kawalan Bangunan dan tindakan penguatkuasaan berkaitan pencerobohan tanah kerajaan berada di bawah bidang kuasa PDTHL.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan, isu flat tular dikaitkan dengan komuniti Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat berpunca daripada tindakan pemilik tanah yang membenarkan warga asing membina dan mendiami lokasi itu.

Johan dipetik berkata, isu terbabit pernah dibangkitkan beliau dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu untuk perhatian serta tindakan agensi berkaitan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, etnik Rohingya didakwa membina kediaman seakan flat empat tingkat secara tidak sah di kawasan terpencil di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.

Pendedahan itu dilakukan penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin, 50, atau dikenali Pak Azad yang secara kebetulan melalui jalan terbabit sebelum merakam video memaparkan keadaan flat yang mencurigakan.


Berita berkaitan

Pemilik tanah yang benarkan komuniti Rohingya bina flat dan tinggal di situ

Flat haram dihuni etnik Rohingya pernah diserbu tahun lalu – Polis

Sewa RM600 hingga RM700 sebulan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top