Datin Seri Rosmah Mansor diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membayar ganti rugi sebanyak RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, berhubung kehilangan 43 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepadanya.

Saman difail Global Royalty
Memetik laporan daripada Kosmo! keputusan itu dibuat Hakim Datuk Quay Chew Soon itu selepas membenarkan saman yang difailkan oleh Global Royalty terhadap Rosmah selaku defendan dalam kes tersebut.
Selain ganti rugi, mahkamah turut memerintahkan Rosmah membayar jumlah itu dalam tempoh sebulan bermula tarikh penghakiman serta kos sebanyak RM150,000, dengan RM75,000 diberikan kepada plaintif dan RM75,000 lagi kepada pihak ketiga.

Rosmah nsfi abai & enggan pulangkan barang kemas
Sebelum ini, Global Royalty memfailkan saman bernilai AS$14.57 juta terhadap Rosmah berhubung kehilangan lebih 40 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepadanya.
Pada perbicaraan yang bermula April lalu, mahkamah mendengar keterangan pengasas Global Royalty, Samer Hassim Halimeh, sebelum Rosmah tampil memberi keterangan sebagai defendan.
Rosmah menafikan beliau mengabai atau enggan memulangkan barang kemas yang hilang dan mendakwa telah mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh barang kemas itu berada dalam simpanannya.
“Sepanjang tempoh berkaitan, beliau telah mengambil langkah berwaspada dalam menjaga barang kemas terbabit dengan niat untuk memulangkannya kepada Samer Hassib apabila diminta dalam keadaan asal seperti barang kemas itu diterima,”
Mahkamah turut mendengar keterangan beberapa saksi pihak ketiga termasuk bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.
Beliau sebelum ini memberitahu pasukan serbuan menemui sejumlah besar wang tunai dan barang kemas yang bertaburan ketika menggeledah Pavilion Residences pada 2018 dalam siasatan berkaitan 1MDB.
Serbuan itu menemukan 71 bagasi, satu kotak plastik dan 284 kotak mengandungi beg tangan di kediaman mewah yang dikaitkan dengan Rosmah.
Sumber: Kosmo! (Nuzulsham Shamsuddin)





