REMBAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di Jalan Program Perumahan Rakyat (PPR) Legong Ulu, Kota di sini petang tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superitenden Azmi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, kereta yang dipandu seorang wanita berusia 42 tahun itu telah melanggar mangsa yang sedang bermain di atas jalan dalam kawasan perumahan berkenaan.
Azmi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila wanita itu sedang dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Legong Ulu menuju ke kawasan perumahan PPR Legong Ulu.
“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan tersebut telah melanggar mangsa yang sedang bermain di atas jalan dalam kawasan perumahan berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu kenderaan terbabit yang merupakan seorang guru tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, hasil siasatan juga mendapati punca kemalangan dipercayai berpunca daripada mangsa yang cuai ketika melintas jalan sebelum dilanggar kenderaan tersebut.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk dibedah siasat manakala kenderaan tersebut akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senawang bagi tujuan pemeriksaan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan. – UTUSAN




