Sahronizam tabah lawan kanser

Sahronizam tabah lawan kanser

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Sahronizam Noor yang disahkan menghidap kanser tulang belikat tahap kedua memaklumkan keadaan kesihatannya menunjukkan perkembangan positif ketika ini.

Sahronizam, 54, berkata, dia masih perlu menjalani siri rawatan terutama bertemu doktor untuk pemeriksaan berkala selepas membuang sebahagian tulang yang terkena tumor di bahagian kanan belakang badannya, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya sudah buang tumor dan buat radioterapi tetapi masih ada lagi rawatan yang perlu saya lakukan mengikut jadual.

“Pada 9 Julai ini, saya akan menjalani ujian Imbasan Tomografi Berkomputer atau CT Scan, manakala, pada 22 Julai pula saya kembali semula ke hospital bagi bertemu pakar onkologi,” katanya ketika ditemui pada pelancaran dan tayangan perdana drama bersiri Bidadari Tanpa Syurga di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, kata suami penyanyi dan pelakon, Safura Ya’cob itu, rawatan kemoterapi yang perlu dijalaninya dijangka mengambil masa sekitar enam bulan dengan setiap kitaran memerlukan rehat selama tiga minggu.

“Bulan lalu, doktor ada beri cadangan untuk buat kemoterapi. Kena buat enam kitaran. Setiap satu kitaran itu kena masuk wad selama lima hari.

“Untuk buat kitaran yang kedua, kena rehat selama tiga minggu. Selepas sudah habis tiga minggu, baru masuk kitaran yang kedua.

“Maksudnya, lima hari masuk hospital kemudian rehat selama tiga minggu dan mengambil masa selama enam bulan,” katanya.

Kata Sahronizam lagi, dia juga mencuba kaedah alternatif lain dengan mendapatkan rawatan tradisional seperti mengambil air penawar.

Ditanya karier lakonan pula, kata Sahronizam, doktor turut menitipkan nasihat kepadanya supaya mengurangkan tawaran watak yang menampakkan rambutnya.

“Biasalah, kalau sudah buat kemoterapi rambut kita akan gugur. Doktor ada nasihat carilah tawaran drama yang tiada rambut sebab memang akan gugur.

“Doktor juga ada bagi anggaran masa, kemungkinan saya akan bebas dari kanser selepas tempoh lima tahun, Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Sahronizam disahkan menghidapi penyakit kanser tulang rawan tahap dua selepas mengalami sakit belakang pada tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top