Guadalajara: Kapten Korea Selatan, Son Heung-min menepis spekulasi bahawa Piala Dunia kali ini akan menjadi penampilan terakhirnya di pentas terbesar bola sepak dunia itu.
Penyerang berusia 33 tahun itu menegaskan beliau sendiri akan menentukan bila masanya untuk mengakhiri karier antarabangsa bersama skuad Taegeuk Warriors.
“Saya tidak pernah mengatakan ini adalah Piala Dunia terakhir saya. Itu adalah pilihan saya sendiri,” katanya pada sidang media menjelang aksi pembukaan Kumpulan A menentang Republik Czech, esok.
Heung-min yang sekian lama menjadi tonggak utama Korea Selatan kekal menjadi pilihan utama jurulatih Hong Myung-bo meskipun prestasinya di depan gol dikatakan sedikit merosot sejak menyertai Los Angeles FC dari Tottenham Hotspur tahun lalu.
Bagaimanapun, pengalaman luas dimiliki bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tetap dianggap aset penting buat Korea Selatan dalam usaha memburu tiket ke pusingan seterusnya.
Sementara itu, Myung-bo yang mengendalikan Korea Selatan buat kali kedua di pentas Piala Dunia mengakui pasukannya kini lebih bersedia berbanding ketika tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2014 di Brazil.
“Ini adalah Piala Dunia kedua saya sebagai ketua jurulatih dan saya berasa amat berbangga. Pada 2014 kami mengalami kegagalan, namun sejak itu kami mengumpul banyak pengalaman dan kini kami sudah membuat persiapan rapi,” katanya.
Menurut Myung-bo, cabaran utama yang perlu dihadapi pemain adalah menyesuaikan diri dengan keadaan altitud tinggi di Mexico, namun beliau percaya skuadnya sudah berjaya mengatasinya.
“Saya fikir semua pemain kini sudah dapat menyesuaikan diri dengan altitud tinggi dan bersedia untuk beraksi,” katanya.
Korea Selatan sedar mereka perlu mengutip mata ketika menentang Republik Czech memandangkan aksi kedua bakal menemukan mereka dengan tuan rumah bersama, Mexico yang dijangka menjadi lawan lebih sukar di hadapan penyokong sendiri.
“Mexico adalah kuasa tradisional bola sepak dan mereka memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri. Namun kami perlu fokus kepada perlawanan pertama sebelum memikirkan aksi kedua,” kata Myung-bo.
Heung-min pula menegaskan setiap perlawanan dalam saingan kumpulan amat penting jika Korea Selatan mahu melangkah jauh.
“Kami mempunyai tiga perlawanan dan setiap satunya sangat penting. Kami akan berjuang habis-habisan,” katanya.
Selepas berdepan Republik Czech dan Mexico, Korea Selatan akan menamatkan kempen Kumpulan A dengan menentang Afrika Selatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




