nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kajang: Walaupun ada kekurangan diri, namun ia sama sekali tidak menghalang penunggang p-hailing, Ahmad Nabil Rosli, 27, yang juga orang kurang upaya (OKU) untuk merantau hampir 400 kilometer (km) demi mencari rezeki.
Ahmad Nabil yang hanya memiliki satu tangan itu berkata, dia bekerja sebagai penunggang p-hailing di kampung halamannya di Kertih, Terengganu, sejak 2022.
Katanya, keputusan untuk merantau ke Nilai, Negeri Sembilan sejak Januari lalu dibuat kerana dia mahu mencabar diri supaya boleh berdikari selain berusaha untuk mencari lebih pendapatan.
“Memandangkan saya bekerja sebagai penunggang p-hailing sepenuh masa, saya perlu mencari lokasi yang terdapat permintaan tinggi bagi perkhidmatan ini berbanding di Kertih.
“Atas nasihat rakan sekerja yang lebih berpengalaman sebagai penunggang p-hailing, saya buat keputusan untuk merantau ke Nilai.
“Saya menyewa bilik di sebuah apartmen di Nilai dengan sewa RM650 sebulan,” katanya ketika ditemui di Bandar Bukit Mahkota, di sini.
Berkongsi permulaan kisahnya bergelar OKU, Ahmad Nabil berkata, dia terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ketika dalam perjalanan dari Bukit Besi Ajil ke Kertih pada 14 Mei 2017.
“Ketika itu, saya menunggang motosikal bersendirian sebelum mengalami microsleep (tertidur).
“Sebaik sedar, saya dimaklumkan oleh ayah, tangan kiri terpaksa dipotong akibat kecederaan patah tulang sayap (tulang belikat atau skapula).
“Selain tangan kiri dipotong, saya juga menjalani tiga lagi pembedahan lain akibat tulang rahang muka retak dan kecederaan di bahagian lutut kiri serta luka di kaki,” katanya.
Ahmad Nabil yang juga anak ketiga daripada enam beradik berkata, selepas pulih daripada kecederaan, dia mula bekerja sebagai pelayan restoran.
“Ketika itu, saya bergantung kepada ayah yang juga pesara tentera untuk ke tempat kerja. Malah, saya juga menggunakan tangan palsu ketika bekerja pada waktu itu.
“Namun, saya mula fikir untuk mencari pekerjaan lain yang tidak menyusahkan ayah. Bermula dari situ, saya terfikir untuk belajar menunggang motosikal sebagai seorang OKU,” katanya.
Bagaimanapun, ketika itu, dia mengalami kesakitan pada bahagian leher akibat pemakaian tangan palsu menyebabkannya menerima lebih 20 suntikan ubat bagi mengatasi rasa sakit.
Disebabkan keadaan itu, katanya, dia membuat keputusan untuk tidak lagi memakai tangan palsu.
“Bagi menunggang motosikal dalam keadaan itu (satu tangan), saya perlu mempunyai motosikal yang diubah suai mengikut keadaan fizikal saya untuk mendapatkan lesen.
“Saya kemudian membeli motosikal Honda ADV 160 dan membawanya ke bengkel untuk diubah suai. Antara ubah suai yang dilakukan adalah meletakkan ciri-ciri utama di bahagian kanan pemegang.
“Ini termasuk suis hon dan lampu isyarat belok (signal) yang dipindah dari bahagian kiri ke kanan. Kos ubah suai itu kira-kira RM500,” katanya.
Menurutnya, dia mengambil masa kira-kira tiga bulan mempelajari kaedah menunggang motosikal dalam keadaan satu tangan sebelum bekerja sebagai p-hailing.
“Memang banyak perbezaan saya rasa apabila keadaan begini berbanding ketika normal dahulu. Ramai orang rasa kasihan pada saya.
“Tetapi saya tidak mahu orang rasa simpati pada saya. Apa yang saya mahu adalah doa orang ramai supaya urusan seharian saya dipermudahkan.
“Sepanjang bekerja sebagai p-hailing, lebih ramai orang yang positif dan baik terhadap saya berbanding negatif termasuk yang berkongsi rezeki mereka dengan saya (hulur wang).
“Disebabkan itu, saya sering berkongsi video di media sosial supaya ia bolehmembuka mata masyarakat mengenai kisah saya,” katanya.
Beliau turut menasihatkan individu sepertinya supaya sentiasa berusaha mencari rezeki dan jangan malas selain tidak tinggal solat.
“Selain itu, kita sebagai anak kena dengar cakap ibu ayah. Apabila kita berusaha, pasti rezeki akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




