Washington: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada Rabu merampas 13 domain internet yang dipercayai digunakan oleh ejen China untuk mendapatkan maklumat daripada rakyat negara itu yang memiliki pelepasan keselamatan.
Minggu lalu, pakatan risikan Five Eyes yang dianggotai oleh AS, United Kingdom, Australia, Kanada dan New Zealand mengeluarkan amaran luar biasa bahawa perkhidmatan risikan tentera China menggunakan LinkedIn dan platform pekerjaan lain untuk mendapatkan maklumat sulit.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Jabatan Kehakiman AS mengumumkan rampasan beberapa nama domain yang didakwa digunakan oleh laman web perundingan palsu untuk menyasarkan rakyat Amerika yang mempunyai akses kepada maklumat terperingkat.
“Rampasan hari ini menghantar mesej yang jelas bahawa sebarang cubaan untuk mengeksploitasi rakyat Amerika yang diberi kepercayaan mengakses maklumat paling sensitif negara akan dikesan dan digagalkan,” kata Peguam AS bagi Daerah Columbia, Jeanine Pirro.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Kontrarisikan dan Pengintipan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Roman Rozhavsky berkata, tindakan itu menunjukkan sejauh mana perkhidmatan risikan kerajaan China sanggup bertindak termasuk menggunakan menggunakan kandungan yang dijana kecerdasan buatan (AI) untuk memperdaya, merekrut atau memaksa pemegang dan serta bekas pemegang pelepasan keselamatan AS supaya berkongsi maklumat sensitif.
Penolong Peguam Negara bagi Keselamatan Negara, John A Eisenberg turut mengingatkan rakyat Amerika supaya berhati-hati terhadap sebarang tawaran pendapatan lumayan melalui kerja perundingan yang tidak jelas serta sentiasa peka terhadap bahawa mereka mungkin menjadi sasaran pihak yang berniat jahat.
Menurut kenyataan Jabatan Kehakiman, individu yang mengendalikan laman web berkenaan menafikan sebarang kaitan dengan mana-mana kerajaan asing.
© New Straits Times Press (M) Bhd




