KUALA TERENGGANU – Gabungan Perikatan Nasional (PN) bukan milik mana-mana parti secara mutlak sebaliknya ia ditubuhkan atas dasar muafakat dalam kalangan parti pengasasnya.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan mahupun hala tuju gabungan berkenaan tidak boleh dibuat oleh sebelah pihak.
Menurut beliau, semua perkara berkaitan hala tuju gabungan tersebut mestilah dirujuk kepada Perlembagaan PN dan diputuskan melalui saluran rasmi yang telah ditetapkan.
”Saya menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) bukan milik mana-mana parti secara mutlak. PN adalah gabungan politik berperlembagaan yang ditubuhkan atas dasar muafakat parti-parti pengasas,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri turut mengingatkan bahawa Pas merupakan antara parti pengasas kepada penubuhan gabungan politik tersebut.
Beliau sendiri merupakan salah seorang penandatangan rasmi ketika proses penubuhan PN dilakukan.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa fokus utamanya ketika ini adalah untuk memastikan kelangsungan pentadbiran gabungan itu berjalan dengan lancar dan mengikut peraturan yang sepatutnya.
”Keutamaan saya ialah memastikan PN terus diurus secara tertib, berprinsip dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.
Sebelum ini, landskap politik negara dikejutkan apabila Pas membuat ketetapan drastik menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan rakan sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan bagi membincangkan hala tuju parti mendepani fasa politik baharu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, ketetapan memutus hubungan itu dibuat selepas parti meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa secara menyeluruh.
Menurut Abdul Hadi, mesyuarat turut memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah mengenai kerjasama politik parti itu atas prinsip penyatuan ummah.
Jelas beliau, Pas kini akan meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang baharu demi penyatuan ummah serta sebagai persediaan bagi menghadapi PRN dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.



