Diplomat AS ditemui mati di Myanmar

Diplomat AS ditemui mati di Myanmar
Diplomat AS ditemui mati di Myanmar

Seorang diplomat yang berkhidmat di Kedutaan AS di Yangon ditemui mati di sebuah hotel. Foto Fail AP

YANGON – Seorang diplomat Amerika Syarikat (AS) yang berkhidmat di Kedutaan AS di Yangon ditemui mati di sebuah hotel di bandar itu, menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Jabatan Negara AS mengesahkan kematian tersebut pada 10 Jun 2026, namun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai identiti mangsa atau punca kematian atas alasan menghormati privasi keluarga dan waris terdekat.

Menurut laporan Al Jazeera, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira dua minggu sebelum pengesahan rasmi dibuat oleh pihak Jabatan Negara AS, dengan mayat mangsa ditemui di sebuah hotel penginapan jangka panjang yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari Kedutaan Amerika Syarikat di Yangon.

Hotel berkenaan dilaporkan sering digunakan oleh diplomat, ahli perniagaan serta pengunjung antarabangsa.

Al Jazeera turut memetik tiga sumber dalam komuniti diplomatik di Yangon yang mendakwa bahawa pihak polis Myanmar sedang mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kemungkinan pembunuhan.

Namun, sehingga kini pihak berkuasa Myanmar belum mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengesahkan dakwaan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar Thailand memaklumkan bahawa seorang wanita warga Thailand telah ditahan oleh pihak polis Myanmar bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kementerian itu turut mengesahkan bahawa bantuan konsular telah diberikan kepada individu terbabit serta keluarga telah dimaklumkan, namun enggan mengulas lanjut mengenai butiran siasatan.

Pihak polis Myanmar setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai punca kematian mahupun status siasatan kes tersebut.

Myanmar ketika ini terus berdepan situasi keselamatan yang tidak stabil susulan konflik dalaman sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, yang mencetuskan pertempuran berpanjangan antara tentera, kumpulan etnik bersenjata dan pasukan pro-demokrasi.

Keadaan itu turut memberi kesan kepada tahap keselamatan di beberapa bandar utama termasuk Yangon.

Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian serta menentukan sama ada terdapat unsur jenayah dalam insiden berprofil tinggi ini. – Agensi

Scroll to Top