Samsuri tepis dakwaan PAS keluar gabungan -“PN bukan milik mana-mana parti”

Samsuri tepis dakwaan PAS keluar gabungan -“PN bukan milik mana-mana parti”

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa gabungan politik itu bukan milik mutlak mana-mana parti, sebaliknya ditubuhkan secara berperlembagaan hasil muafakat parti-parti pengasas.

Menerusi kenyataan di Facebook hari ini, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata PAS merupakan antara parti pengasas PN dan beliau sendiri adalah antara penandatangan rasmi penubuhan gabungan tersebut.

“Saya menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) bukan milik mana-mana parti secara mutlak.
“PN adalah gabungan politik berperlembagaan yang ditubuhkan atas dasar muafakat parti-parti pengasas,” katanya.

Menurut Ahmad Samsuri, sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak. Sebaliknya, perkara itu perlu dirujuk kepada perlembagaan gabungan dan diputuskan menerusi saluran rasmi PN.

Beliau turut menegaskan bahawa keutamaannya ketika ini adalah memastikan PN terus diurus secara tertib, berprinsip dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat serta negara.

Kenyataan itu hadir ketika timbul spekulasi bahawa PAS berkemungkinan keluar atau dikeluarkan daripada PN selepas parti itu membuat keputusan menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU yang turut berada di bawah gabungan berkenaan.

Isnin lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua pihak.

Susulan perkembangan itu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menegaskan bahawa BERSATU sebagai parti pengasas PN akan terus kekal dalam gabungan tersebut serta memperkukuhkan teras perjuangannya.

Sumber: Facebook Dr Ahmad Samsuri

Scroll to Top