SHAH ALAM – Pas bukan penumpang dalam Perikatan Nasional (PN), sebaliknya antara pengasas gabungan itu yang memainkan peranan penting dalam pembentukannya sejak awal.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, dakwaan kedudukan Pas dalam PN menjadi janggal sekiranya parti itu tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah pandangan terbalik daripada realiti sebenar.
Menurutnya, persoalan lebih tepat bukanlah kedudukan Pas dalam PN, sebaliknya mengapa Bersatu masih mahu kekal dalam gabungan itu sekiranya terdapat pihak dalam parti berkenaan yang terus mempertikaikan keputusan, kepimpinan dan hala tuju dipersetujui bersama.
“Pas adalah parti pengasas PN dan antara penandatangan rasmi penubuhannya.
“Kedudukan Pas tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu atau parti kerana Pas sebahagian daripada asas yang membina gabungan ini sejak awal,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohamed Sukri berkata, PN bukan hanya dianggotai Pas dan Bersatu, malah turut disertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Malaysian Indian People’s Party (MIPP).
Katanya, masa depan gabungan itu tidak boleh ditentukan berdasarkan kepentingan atau kehendak mana-mana satu parti kerana tiada pihak mempunyai hak eksklusif ke atas PN.
Beliau turut mendakwa, Bersatu berdepan beberapa episod pergolakan dalaman sejak kebelakangan ini termasuk pertikaian kepimpinan, penghijrahan pemimpin dan ketidaktentuan hala tuju politik.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja melemahkan Bersatu, malah berisiko menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keseluruhan gabungan pembangkang.
“Pas tidak boleh terus dipaksa menanggung beban politik daripada krisis yang tidak berpunca daripadanya.
“Apabila sesebuah parti berdepan masalah dalaman berpanjangan, penyelesaiannya bukan dengan mengheret seluruh gabungan untuk menanggung kesannya, sebaliknya parti itu perlu melakukan pembetulan dan penstrukturan semula organisasinya sendiri,” jelas beliau.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang tidak lagi menghormati keputusan bersama, mempertikaikan kepimpinan gabungan secara terbuka atau meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan PN sewajarnya menilai semula kedudukan mereka dalam gabungan itu.
Mohamed Sukri menjelaskan, Pas akan terus mempertahankan semangat muafakat, penyatuan rakyat dan pengukuhan blok pembangkang, namun tidak akan berkompromi dalam perkara membabitkan disiplin gabungan, penghormatan terhadap perlembagaan PN dan kestabilan organisasi.
“PN bukan milik Bersatu dan bukan juga milik Pas, sebaliknya adalah milik semua parti komponen yang membinanya bersama.
“Jika ada pihak merasakan mereka tidak lagi mampu bergerak dalam kerangka tersebut, maka sewajarnya mereka menilai semula kedudukan sendiri, bukannya mempersoalkan hak parti pengasas untuk terus memimpin dan memperkukuh gabungan ini,” tambah beliau.



