am@hmetro.com.my
Penampang: Seorang lelaki ditemukan maut berhampiran lobi sebuah kondominium di Jalan Bundusan, di sini selepas dipercayai terjatuh dari unit kediaman di tingkat 26 bangunan berkenaan, petang tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa warga tempatan berusia 34 tahun ditemukan terbaring di atas jalan dalam keadaan parah sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari sebuah unit kediaman di tingkat 26 kondominium berkenaan.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah dikesan yang boleh dikaitkan dengan kejadian ini,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




