Jerman tak mahu pandang Curacao sebelah mata

Jerman tak mahu pandang Curacao sebelah mata

Winston-Salem: Pertahanan Jerman, Nico Schlotterbeck, mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang rendah Curacao menjelang aksi pembukaan Kumpulan E Piala Dunia 2026, namun tetap yakin juara dunia empat kali itu mampu memulakan kempen dengan kemenangan.

Jerman berdepan tekanan untuk memulakan kejohanan dengan baik selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan pada edisi 2018 dan 2022.

Menurut Schlotterbeck, Curacao bukan lawan yang boleh dipandang mudah walaupun negara Caribbean itu menjadi pasukan terkecil pernah layak ke Piala Dunia dengan populasi sekitar 150,000 penduduk.

“Kami mengadakan perbincangan mengenai Curacao semalam. Mereka pasukan yang baik dan memiliki ramai pemain yang dibangunkan menerusi sistem bola sepak Belanda.

“Bagaimanapun, kami adalah pasukan pilihan dan saya yakin kami akan memenangi perlawanan ini,” katanya.

Curacao yang merupakan wilayah autonomi di bawah Belanda dibimbing jurulatih berpengalaman, Dick Advocaat, dan dibarisi pemain yang memiliki kewarganegaraan Belanda.

Selepas aksi menentang Curacao, Jerman akan berdepan Ivory Coast pada 21 Jun sebelum melengkapkan saingan kumpulan menentang Ecuador.

Schlotterbeck percaya skuad Jerman kali ini memiliki gabungan pemain yang ideal, termasuk pemain berpengalaman yang mungkin beraksi dalam Piala Dunia terakhir mereka serta bakat yang sedang berada di kemuncak prestasi.

“Saya melihat banyak pemain berkualiti dalam pasukan ini. Gabungan yang kami miliki sangat baik dan semua pemain tidak sabar untuk memulakan kejohanan,” katanya.

Walaupun dijangka beraksi dalam cuaca panas sekitar 30 darjah Celsius di Houston, Schlotterbeck menegaskan skuad Jerman tidak berdepan tekanan.

“Tiada tekanan. Kami hadir dengan penuh keyakinan dan mahu menunjukkan kemampuan sebenar kami.

“Kami tidak perlu bersembunyi daripada sesiapa. Jerman adalah pasukan bertaraf dunia. Kami kembali menampilkan nilai tradisi bola sepak Jerman seperti disiplin, semangat juang dan ketahanan mental.

“Jika kami mengekalkan identiti itu, kami berada di landasan yang tepat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top