Argentina kembali nombor satu

Argentina kembali nombor satu

London: Juara bertahan, Argentina, kembali menduduki tangga teratas Ranking Dunia Persekutuan Bolasepak Antarbangsa (FIFA) yang dikemas kini beberapa jam sebelum bermulanya Piala Dunia 2026.

Skuad kendalian Lionel Scaloni melonjak dua anak tangga daripada kedudukan ketiga untuk merampas semula status pasukan nombor satu dunia selepas mencatat kemenangan dalam aksi persahabatan menentang Iceland dan Honduras.

Argentina yang menjuarai Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti itu kali terakhir berada di tangga teratas ranking FIFA pada Julai tahun lalu.

Diketuai kapten berpengalaman, Lionel Messi, Argentina akan memulakan kempen Kumpulan J menentang Algeria di Kansas City pada 17 Jun ini sebelum berdepan Austria dan Jordan.

Sementara itu, Sepanyol kekal di tangga kedua manakala Perancis turun ke kedudukan ketiga selepas tewas kepada Ivory Coast dalam aksi pemanas badan sebelum menewaskan Ireland Utara.

England berada di tangga keempat diikuti Portugal di tempat kelima.

Dalam kelompok 10 terbaik, Brazil kekal di tangga keenam, diikuti Maghribi yang naik ke tempat ketujuh.

Belanda turun ke tangga kelapan, manakala Belgium dan Jerman masing-masing kekal di kedudukan kesembilan dan ke-10.

Bagi tiga negara tuan rumah bersama Piala Dunia 2026, Mexico muncul pasukan dengan ranking tertinggi apabila naik satu anak tangga ke kedudukan ke-14 dunia.

Amerika Syarikat pula turun satu anak tangga ke kedudukan ke-17, manakala Kanada berada di tangga ke-30.

Menariknya, Itali yang menghuni ranking ke-12 dunia menjadi pasukan dengan kedudukan tertinggi yang gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top